Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Cegah Maksiat Dan Khalwat Adalah Kewajipan Utama Kerajaan

6658
SHARE

1. Kenyataan Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkenaan isu pencegahan ke atas maksiat peribadi termasuklah khalwat tersembunyi bukanlah urusan kerajaan adalah jelas tidak memahami konsep amar makruf dan nahi munkar. Sedangkan pencegahan yang berstatuskan penguatkuasaan adalah tertakluk pada kuasa yang dimiliki dan sudah pasti pihak kerajaan yang memiliki kuasa tersebut.

2. Hal ini dapat difahami menerusi maksud mencegah kemungkaran dengan tangan ialah merujuk kepada kuasa sebagaimana hadith yang dibahaskan oleh para ulamak seperti berikut:

«مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ»

Maksdunya: “Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia cegah dengan tangannya (kuasa), jika dia tidak berkemampuan maka cegahlah dengan lisan, jika tidak juga berkemampuan maka cegahlah dengan hatinya, dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim]

3. Pihak yang berautoriti dan memiliki kuasa bertanggungjawab mencegah maksiat yang wujud serta khalwat yang dilaporkan. Ia samada kuasa bersifat khusus seperti seorang bapa ke atas anaknya atau juga kuasa bersifat umum seperti kerajaan ke atas rakyat. Kemungkaran wajib dicegah apabila ianya:

i. Benar-benar berlaku,
ii. Sedang dilakukan,
iii. Disepakati kemungkarannya,
iv. Pencegahan bukan bersifat tajassus(mengintai mencari kesalahan).

4. Dalam konteks penguatkuasaan pencegahan, sememangnya yang diamalkan adalah berasaskan laporan yang diterima aduan dan disahkan penelitiannya. Bermakna ia bukanlah bermaksud redahan semberono tanpa sebarang aduan dan hujah. Ini kerana asas dalam aduan ialah wujudnya bukti. Sabdaan Baginda SAW dalam sebuah hadith daripada riwayat Ibnu Abbas R.A:

«لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدعوَاهُمْ لادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَال قَومٍ وَدِمَاءهُمْ، وَلَكِنِ البَينَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمينُ عَلَى مَن أَنكَر»

Maksudnya: “Sekiranya diberikan (kebenaran) atas manusia semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan mendakwa seseorang akan (tuntutan) harta dan darah sesuatu kaum, akan tetapi bukti dikenakan ke atas pendakwa manakala sumpah atas mereka yang menafikan (dakwaan atasnya).” [Riwayat al-Baihaqi]

5. Lantaran itu, ia bukanlah menceroboh hak peribadi manusia tetapi penguatkuasaan pencegahan tersebut termasuk mencegah kemungkaran yang telah dimaklumi berasaskan aduan yang diterima dan disahkan penelitian sekalipun kes maksiat tersebut berlaku dalam kediaman peribadi dan pada waktu tengah malam. Jadi, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan sepantas mungkin bagi menyekat jalan maksiat yang lebih besar atau Saddu al-Zari’ah.

6. Menteri Agama berkenaan sepatutnya membezakan antara maksiat yang dirahsiakan tanpa diketahui dengan maksiat yang dimaklumi. Sekiranya yang dimaklumi seperti kes khalwat di lokasi tertutup dan premis peribadi sekalipun, maka ianya wajib dicegah jika aduan dibuat, jika tidak, dibimbangi termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Allah kerana membiarkan kemungkaran yang diketahui berleluasa. Firman Allah SWT:

{لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ}

Maksudnya: “Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka tidak melarang daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.” [al-Maidah: 78-79]

7. YB Menteri Agama sepatutnya memberikan fokus dalam kerja-kerja penambahbaikan teknikal untuk lebih efisyen dalam menghalang sebarang kemungkaran dan bukannya terus menerus memberikan pandangan yang menimbulkan polemik negatif kepada tuntutan Islam dan institusi agama Islam. Kepada yang terlanjur, ingatlah:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

“Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

26 Muharram 1440 / 6 Oktober 2018