Berbuat Baik Terhadap Haiwan
Hari ini saya berpeluang melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak. Pelbagai haiwan yang diancam kepupusan ada di sini, dipelihara dan dibiakkan. Sampai masanya, apabila mencapai bilangannya yang tertentu, ia akan dilepaskan ke habitat asalnya.
Contohnya sebelum ini kita dengar khabar tentang Scarface yang pernah membaham manusia. Kita juga pernah dengan Awang Rasau yang membaham 30 ekor lembu di Terengganu. Spesis Harimau Malaya itu ditangkap dan ditempatkan di sini kerana ia termasuk spesis yang terancam. Namun, kedua-duanya sudah tiada lagi. Di sini, saya sempat melihat anak Scarface yang sedang membesar.
Selain daripada Harimau Malaya, ada juga spesis Tapir yang diselamatkan. Ada seekor yang diberi nama Cik Li, yang mana kaki kanannya robek disebabkan perangkap yang dipasang oleh pemburu haram. Bukan sekadar itu, Cik Li juga turut diparang di belakang badannya. Ada seekor tapir yang lain, yang buts matanya. Justeru ia diselamatkan oleh PERHILITAN dan dipelihara di sini.
Ada juga spesis Seladang yang terkenal dengan kepantasannya. Ada kalanya ia buang najis, belum sempat najis itu ‘mendarat’ di tanah, ia sempat berpusing dan menanduk najisnya itu. Itulah gambaran kepantasannya yang luar biasa. Haiwan ini juga dikatakan pernah menanduk pemburu haram sehingga mati.
Merak Hijau antara spesis yang pernah pupus di Malaysia pada 1930an. Spesis ini yang terakhir ditemui di Terengganu ketika itu. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membeli spesis ini dari Jerman dan Belgium untuk dibiakkan di sini. PERHILITAN meletakkan harapan agar bilangan spesis ini bertambah, dan dilepaskan pada 2024. Inilah detik bersejarah apabila binatang yang sudah pupus di Malaysia muncul kembali.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang laki-laki yang sedang berjalan, lalu dia merasakan kehausan yang sangat sehingga dia turun ke suatu perigi lalu minum dari air perigi tersebut. Ketika dia keluar dari perigi, didapatinya ada seekor anjing yang sedang menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah karena kehausan. Orang itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku alami tadi”. Maka dia (turun kembali ke dalam perigi) dan diisi kasutnya dengan air dan sambil menggigit kasutnya dengan mulutnya dia naik ke atas lalu memberi anjing itu minum. Kemudian dia bersyukur kepada Allah, maka Allah mengampuninya”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?” Baginda SAW menjawab: “(Berbuat baik) pada setiap makhluk bernyawa diberi pahala”. (Hadis Riwayat al Bukhari)