Home Kenyataan Media PAS Perlis

Cadangan pengangkutan percuma kepada mahasiswa

229
SHARE

KENYATAAN MEDIA KETUA PEMUDA PERIKATAN NASIONAL NEGERI PERLIS

CADANGAN PENGANGKUTAN PERCUMA KEPADA MAHASISWA

Tahun 2022 akan menjadi tahun yang detik bersejarah apabila pindaan perlembagaan menurunkan umur minimum mengundi kepada 18 daripada 21, memperkenalkan pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan umur minimum untuk bertanding dalam pilihan raya kepada 18 tahun.

Hampir 7.8 juta pengundi baharu bakal bertambah dan ini memberi kesan segi angka pengundi dan demografi. Menariknya, daripada jumlah ini hampir 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun dengan belia Malaysia (berumur 18-29 tahun) kini menjadi blok pemilih terbesar.

Sebagai blok pemilih terbesar, pilihan anak muda akan menjadi representasi untuk politik Malaysia secara keseluruhannya. Oleh itu, Pemuda Perikatan Nasional Perlis menyeru semua anak muda untuk turun mengundi kerana undi anak muda akan menentukan siapa kerajaan yang akan mentadbir dan mencorakkan masa depan negara.

Pemuda Perikatan Nasional Perlis menyambut baik idea Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain yang mencadangkan Kementerian Pengangkutan supaya berbincang dengan syarikat pengangkutan udara agar harga tiket dapat dikurangkan pada harga yang berpatutan bagi pengundi khususnya di Semenanjung Malaysia untuk pulang ke Sabah dan Sarawak bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Pemuda Perikatan Nasional Negeri Perlis juga mencadangkan supaya pihak universiti menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa untuk pulang mengundi khususnya buat mahasiswa di semenanjung.

Potongan harga istimewa ini penting kerana kemampuan kewangan mahasiswa yang agak terhad menyebabkan mereka sukar untuk pulang mengundi.

Semoga inisiatif pengangkutan percuma ini dapat dilaksanakan bagi menerapkan kesedaran dan tanggungjawab di kalangan rakyat khususnya belia dalam kalangan mahasiswa serta mampu meringankan beban mereka di perantauan untuk pulang mengundi sempena dengan PRU-15 ini.

Yang benar,
USTAZ ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional Negeri Perlis
29 Oktober 2022 | 3 Rabiulakhir 1444H