Oleh : Abu Maryam Safiyyah
3 Januari 2020
إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
Surah At-Tawbah, Ayat 18
Ayat di jelas memberi pencerahan kukuh kepada umat Islam bahawa mereka dikatakan orang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat sekiranya mereka bergerak memakmurkan masjid dengan menghidupkan fungsi masjid bermula dengan pusat ibadah, pusat ilmu, markas kebajikan, pusat penyatuan ummah sehinggahlah menjadi pusat rujukan umat Islam dalam membina kekuatan dalaman umat.
Zaman Rasulullah beginilah rentak dalam membina kekuatan masjid, selepas Nabi berjaya menyatukan hati suku Aus dan Khazraj, kaum Ansar dan Muhaajirin, Baginda membina institusi masjid yang asalnya dari tapak perkuburan dan menggerakkan sebagai pusat kekuatan negara dan ummah yang dipimpin oleh Baginda sendiri. Masjid Nabawi yang hebat dan tersergam berkat.
Walhasil lahirlah ummat yang terbaik didikannya sebagai asas untuk mencetak generasi umat pewaris selepas Baginda wafat hingga dapat mengalahkan dua kuasa besar dunia, Rome dan Parsi seterusnya menguasai dua pertiga dunia ini dengan izzah dan keadilan. Begitulah memukaunya langkah masjid zaman salafussoleh itu.
Dalam konteks Tawau, saya menyaksikan peranan masjid telah mula sedaya upaya dimurnikan semula. Setelah lebih 10 tahun berpencak dalam dunia pengisian arena masjid dan membina hubungan dengan pimpinan masjid, saya tertarik apabila semangat dan usaha itu kembali mekar setelah beberapa tahun sebelumnya tidak sesegar sekarang.
Terbaru satu lagi masjid yang terletak di Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas menghubungi saya untuk memohon singgah memberikan pengisian dan motivasi serta memohon sedikit peranan untuk membuka jalan mereka mendapatkan tenaga agamawan untuk menghidupkan pengisian ilmu setelah beberapa tahun masjid ini agak suram dari pembudayaan kefahaman Islam. Masjid ini antara masjid yang pesat membangun dan menjadi tumpuan dengan tapak yang strategik. Sangatlah wajar pembangunan ilmu pula diambil kira.
Tidak terlebih untuk mengatakan masjid ini antara yang terlambat bergerak rancak dikala masjid yang lain telah jauh ke depan kembali aktif. Akan tetapi keadaan ini tetap berita gembira sekali lagi untuk masyarakat masjid dan ummah. Situasi indah ini sudah pastilah memberi petanda awal bahawa Islam di Tawau boleh menjadi kuasa hebat memimpin masa hadapan kelak sama ada suka atau tidak, mahu terima atau tidak. Kerja Islam itu Allah yang pelihara. Sumbangan masjid yang tidak pernah asing dalam pembinaan tamadun dan kuasa Islam.
Ada yang bertanya kenapa perlu masjid ini bertindak mengadakan pengisian ilmu. Saya menjawab dengan kaedah inilah sebagai asas atau tangga memberi kefahaman umat apa itu Islam, tuntutan dan peranan dengan segala bidang skop keindahann Islam (mahasinul Islam) daripada fekah, ibadah, sirah, hadith, akhlak, Al quran, siyasah Islam, faraid, dan lain-lainya. Daripada diri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah tertegak kekuasaan Islam sedunia. Semuanya bermula dengan pendidikan di masjid. Kalau tidak demikian, masakkan Rasulullah boleh mencetak umat segemilang itu.
Semoga Allah memimpin !