Home Berita PAS Perak

Booth ‘Cantiknya Bertudung’ promosi imej muslimah berhijab

135
SHARE

Oleh : Aqilah Nazir

PADANG RENGAS – Program Cantiknya Bertudung bersempena Semarak Dakwah Ummah mendapat perhatian dan kunjungan pelbagai lapisan masyarakat dengan mempromosi gaya berhijab mengikut syariat.

Program anjuran Lajnah Dakwah (LD) PAS Negeri Perak dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS (DMPK) Padang Rengas berlangsung dengan sambutan baik oleh pengunjung Pasar Pagi Taman Puncak Bougainvillea di booth yang disediakan oleh muslimat seawal 7.30 pagi.

Cabutan bertuah tudung menerima sambutan paling menggalakkan dengan sebanyak 200 helai tudung jenis shawl dan bawal habis dihadiahkan kepada pengunjung. Peserta juga diberi peluang menggayakan tudung di photobooth yang disediakan.

Di samping photobooth, jawatankuasa turut mengedarkan flyers ‘Cantiknya Bertudung’ dengan pengisian tatacara penutupan aurat serta flyers kempen solat berjamaah yang disediakan Lajnah Dakwah PAS Perak.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Hj. Rosli Abdul Rahman dalam ucapannya ketika mengunjungi booth Cantiknya Bertudung mengalukan kehadiran pengunjung yang mencuba tudung dan berharap agar selain daripada kecantikan pada imej bertudung, para wanita juga akan medapat redha Allah apabila menutup aurat mereka.

Sementara itu, Ketua Lajnah Dakwah Muslimat Padang Rengas, Dr. Norfadilah Abdul Rahman mengucapkan syukur dengan kehadiran sasaran peserta terdiri daripada muslimah yang menjadi pengunjung pasar pagi.

“Program ini menjadi titik permulaan yang baik dengan kerjasama yang memuaskan daripada jawatankuasa DMPK, Ameerah Padang Rengas serta Briged Muslimat Kuala Kangsar.

“Insya-Allah, program sebegini akan diteruskan lagi dengan pelaksanaan secara ‘Street Dakwah’ dengan penambahan golongan sasaran terdiri daripada non-muslim,” jelas Dr. Norfadilah.

Turut hadir bersama Ketua Lajnah Dakwah PAS Perak, Sukeri Mat Amin, Ketua Dewan Muslimat PAS Padang Rengas, Husna Saidon, serta pimpinan muslimat, Ameerah dan lainnya.