Home Artikel PAS Melaka

Bonus produktiviti tingkatkan pendapatan golongan pakerja

567
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

SEMENJAK mula dikuatkuasakan pelaksanaan gaji minimum di Malaysia pada 1 Januari 2014 yang meletakkan gaji minimum di Semenanjung Malaysia pada kadar RM900, manakala Sabah dan Sarawak pada kadar RM800 penulis sudah menulis beberapa rencana berkaitan dengan perkara ini.

Di dalam rencana-rencana itu penulis cuba menerangkan betapa perlaksanaan gaji minimum bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia daripada kumpulan B40.

Tanyalah mana-mana pakar ekonomi sekali pun, penetapan kadar gaji minimum yang sebenarnya tidak mampu dibayar oleh majikan akhirnya akan meningkatkan kos pengeluaran sesebuah perniagaan dan menyebabkan semua syarikat yang berhadapan masalah ini akan menaikkan harga barangan keluaran mereka.

Sebenarnya konsep asal gaji minimum ini ialah untuk mengelakkan daripada majikan memberikan gaji yang terlalu rendah kepada pekerja, bukan untuk mencukupkan berapa yang diperlukan oleh seseorang pekerja untuk hidup.

konsep asal gaji minimum ini ialah untuk mengelakkan daripada majikan memberikan gaji yang terlalu rendah kepada pekerja,

Kita tidak boleh menetapkan secara mudah contohnya bahawa kos sara hidup yang sesuai di Bandaraya Kuala Lumpur ialah RM1800 sebulan, maka gaji minimum perlu ditetapkan RM1800 sebulan.

Ia tidak semudah itu. Kita boleh membuat undang-undang dan memaksa majikan membayar jumlah itu tetapi kesan berantai secara semula jadi akan berlaku. Harga barang dan inflasi akan naik secara semulajadi.

Katalah gaji minimum sekarang ialah RM1000 dan harga sepinggan nasi ialah RM10. Katakan tiba-tiba kerajaan menetapkan gaji minimum ialah RM2000, mungkin pada masa itu harga sepinggan nasi ialah RM20. Jadi, tiada gunanya.

Yang berubah nanti hanyalah angka gaji yang diterima. Tetapi kuasa beli yang dimiliki oleh rakyat tetap sama. Yang mengerikan ialah kita tidak dapat pastikan antara peningkatan dalam harga barang dan peningkatan dalam gaji yang mana akan naik lebih tinggi.

Seperti yang penulis selalu sebut, inflasi dan tuntutan kenaikan gaji ini kejar mengejar antara satu sama lain. Kita tak tahu siapa yang akan menjadi juara. Sebenarnya cara terbaik untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat ialah dengan menguatkuasakan kadar gaji berpadanan dengan kemampuan majikan.

Kita tidak mahu situasi majikan yang mendapat keuntungan yang sangat besar tetapi menindas pekerja dengan gaji yang rendah. Dan majikan yang mampu membayar gaji yang tinggi perlu membayar gaji yang tinggi.

Motivasi kerja kerana insentif jualan

Selepas menamatkan pengajian di universiti dahulu sekitar penghujung tahun 1999, penulis pernah bekerja di sebuah syarikat peruncitan antarabangsa yang memiliki rangkaian pasar raya di Malaysia ini. Pada satu masa mereka memberikan insentif berdasarkan sasaran jualan mengikut jabatan.

Pada satu masa mereka memberikan insentif berdasarkan sasaran jualan mengikut jabatan.

Jumlahnya agak menarik. Sasaran itu ditetapkan pada beberapa tingkat. Pada masa itu jika mencapai tingkat pertama bonusnya ialah RM200, tingkat kedua ialah RM400 dan tingkat maksimum ialah RM600. Bonus ini diberi setiap bulan.

Itu bagi peringkat eksekutif. Kadar untuk pembantu jualan rendah sedikit. Namun dengan kadar gaji asas kami sebanyak RM1350 pada waktu itu dan dengan pertambahan sebanyak RM600 daripada bonus ini secara bulanan, ia satu jumlah yang sangat ‘kacak’!

Jadi menjadi satu keterujaan kami setiap kali masuk kerja pagi esoknya untuk melihat jumlah jualan yang telah diperolehi oleh jabatan kami pada hari sebelumnya yang dipaparkan di papan kenyataan. Dan kami memang bersungguh-sungguh untuk melayan pelanggan demi untuk mengejar target dan bonus!

Kayu ukur bonus produktiviti

Sesebuah perniagaan boleh menggunakan beberapa pendekatan untuk mengukur kadar bonus produktiviti, antaranya kadar jualan, kuantiti pengeluaran atau kadar keuntungan perniagaan. Bagi syarikat kontraktor, katering, andaman mereka boleh menjadikan sebut harga atau tender yang mereka berjaya perolehi sebagai asas kepada pemberian bonus produktiviti.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2624 bertarikh 12 Februari 2021

 

Namun mengikut kaedah ini bonus ini bukan sukarela. Ia perlu diwajibkan oleh undang-undang. Dalam sistem ini semua syarikat perlu mengemukakan sistem bonus produktiviti masing-masing dengan satu kadar yang tetap. Kadar ini ditentukan oleh syarikat dan dipersetujui oleh pihak pekerja dan kerajaan.

Ia adil kepada syarikat yang memang benar-benar tidak mampu untuk memberi satu tingkat gaji yang lebih tinggi. Syarikat yang tidak dapat mencapai sasaran minimum tidak perlu memberikan bonus.

Gaji minimum + bonus produktiviti

Mengikut kaedah ini kita mengekalkan prinsip gaji minimum yang berpatutan dan tidak membebankan majikan. Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada majikan memberikan gaji yang terlalu rendah kepada pekerja.

Mengikut kaedah ini kita mengekalkan prinsip gaji minimum yang berpatutan dan tidak membebankan majikan.

Kemudian syarikat perlu memberikan bonus produktiviti pula sebagai cara meningkatkan pendapatan pekerja. Dengan cara ini peningkatan gaji yang berlaku tidak membebankan majikan dan tidak menekan harga dan inflasi daripada meningkat.

Dengan cara ini juga pekerja akan berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi syarikat tidak hanya bermalas-malasan dan berwenang-wenang sahaja tunggu gaji masuk. Majikan juga tidak terbeban. Ia situasi menang-menang.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah