Home Berita PAS Perak

Bersama doakan kesembuhan Ustaz Faisal

374
SHARE

Oleh: Danisya Ismail

IPOH: Dewan Muslimat PAS NegeriPerak (DMPN) telah menganjurkan program munajat khas dan bacaan Yassin secara atas talian bermula selepas maghrib bagi mendoakan kesejahteraan mantan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Perak, Ustazah Aaliah Abd Aziz berkata, pihaknya menzahirkan rasa sedih dan hiba atas ujian kesihatan yang melanda Ustaz Faisal.

“Kami difahamkan (oleh) keluarga beliau bahawa Ustaz Faisal (kini) sedang dirawat di Unit Rawatan Koronori (CCU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. InsyaAllah DMPN akan terus mengikuti perkembangan beliau dari semasa ke semasa.

“Bagi menzahirkan keprihatinan dan kebersamaan Dewan Muslimat kepada keluarga beliau, maka inisiatif menganjurkan munajat khas ini telah (pun) diambil. Semoga berkat doa kita semua Allah kurniakan kesembuhan buat Ustaz Faisal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ameerah Negeri Perak turut sama menjalankan sebuah munajat khas yang berlangsung secara atas talian melibatkan penyertaan Muslimat Muda PAS Perak.

“Ustaz Faisal merupakan pimpinan yang amat kita segani. Banyak jasa dan sumbang bakti yang beliau telah curahkan dalam gerak kerja PAS. Beliau antara contoh pemimpin yang komited dengan tugas.

“Isterinya (Ustazah Diyana Mohd Sani) juga merupakan Muslimat PAS yang aktif khsusnya di Kawasan Ipoh Timur. (Semoga) dengan munajat ini dapat memberi sokongan kepada Ustazah Diyana yang diuji dengan ujian ini,” demikian jelas Pengarah Ameerah Perak, Nur Farhana Omar.

Kongsi beliau, pihaknya telah mengerahkan Muslimat Muda PAS Perak agar mengadakan solat hajat di rumah masing-masing sebelum sesi bacaan yassin berlangsung secara atas talian bermula selepas Isyak.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta beberapa pimpinan Ameerah Perak telah menziarahi Ustazah Diyana di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini.

Ustaz Ahmad Faisal dikejarkan untuk menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, akibat serangan jantung dan sesak nafas, semalam.