Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Berkorbanlah Demi Sekeping Tiket Untuk Ke Syurga

886
SHARE

Sudah menjadi satu syariat bagi umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan Aidiladha untuk meraikan dua ibadah yang cukup bermakna dalam sejarah umat Islam iaitu ibadah korban dan haji. Kedua-dua ibadah tersebut menuntut pengorbanan hambaNya untuk meraih Keredhaan dan Taqwa daripada Allah s.w.t.

Seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hajj ayat 34:

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.”

Sinonim dengan sejarah di zaman Nabi Ibrahim ketika diuji oleh Allah untuk menyembelih anak baginda, Nabi Ismail sedangkan baginda amat menyayangi anaknya yang sudah lama baginda menantikan kelahiran zuriat itu puluhan tahun sebelumnya. Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hati seorang ayah yang terpaksa mengorbankan anaknya sendiri demi perintah Allah. Namun, keduanya berhasil melepasi ujian tersebut bilamana pisau yang diasah berkali-kali itu, peliknya langsung tumpul dan sedikit pun tidak dapat mencederakan leher nabi Ismail. Allah menerima pengorbanan kedua-dua nabi tersebut dan meletakkan darjat mereka ke tempat yang lebih tinggi. Daripada peristiwa itulah kita difardhukan untuk melaksanakan ibadah korban bermula Hari Nahar sehingga Hari Tasyriq.

Begitu juga pengorbanan yang dituntut untuk melaksanakan ibadah haji yang menjadi salah satu di dalam rukun Islam. Ia menuntut sepenuh pengorbanan setiap jemaah untuk mendapatkan haji yang mabrur. Bukan sahaja melibatkan pengorbanan harta, malah hati dan perasaan juga harus dijaga daripada celaan sifat-sifat mazmumah. Sudah dijanjikan setiap haji mabrur itu balasannya adalah syurga seperti firman rasulullah s.a.w:

“Dan haji mabrur tidak ada balasan yang pantas baginya selain surga.” (HR. Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1349)

Bahkan Nabi Muhammad SAW juga pernah menjawab persoalan Saidatina Aisyah R.A apabila ditanya apakah jihad bagi wanita? Iaitulah jihad dalam mengerjakan ibadah haji. Ia menuntut pengorbanan diri mencakupi keseluruhan aspek fizikal, mental, spiritual dan emosi sama seperti seorang mujahid di medan peperangan. Kerana itulah pahitnya pengorbanan membuahkan manisnya syurga di akhirat kelak.

Sebagai seorang Islam, kita seharusnya mengambil ibrah melalui peristiwa di atas. Syurga itu amat mahal harganya, tetapi cukupkah dengan hanya melaksanakan ibadah khusus, kita mampu mengelak api neraka? Yakinkah kita dengan hanya menyokong agenda Islam sahaja kita sudah menjadi ahli syurga? Bagaimana pula dengan pengorbanan menegakkan Islam? Sanggupkah kita untuk berkorban harta, masa dan keringat kita pada Islam jika dengan cara inilah Allah memberi peluang untuk ke syurga?

Allah berfirman dalam surah At Taubah ayat 111:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu).”

Marilah sama-sama kita ikhlaskan niat untuk berjuang demi menegakkan Islam di atas puing-puing jahiliyyah di muka bumi ini. Berilah sepenuh komitmen terhadap agenda yang direncanakan oleh PAS baik dalam keadaan senang mahupun susah.

“Jika keluarga, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya daripada berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya” (At-taubah:24)

Dan ingatlah wahai sahabat perjuangan sekalian, tidaklah sama darjat orang yang berdiam diri sambil menyokong perjuangan sahaja berbanding mereka yang turun berjuang. Itu merupakan janji Allah seperti dalam surah An-Nisa’ ayat 95:

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman (selain daripada orang-orang yang ada keuzuran) dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak ingin mengucapkan:

“Selamat Hari Raya Aidiladha 1438H dan selamat pulang bercuti!”