Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
BAGAN SERAI: Sejarah perjuangan Islam menyaksikan peranan pemuda sentiasa menjadi tunggak utama sehingga menjadi sebutan seperti Khalid Al Walid, Bilal bin Rabah, Sultan Muhammad dan ramai lagi, mereka membuktikan posisi anak muda mampu mengubah dunia.
Mengambil semangat perjuangan mereka, Pemuda PAS Bagan Serai terus komited membantu jentera PAS Bagan Serai dari segala aspek termasuk kekuatan kewangan.
Ketua Pemuda PAS Bagan Serai, Ustaz Akmal Sani berkata demikian ketika penyampaian sumbangan dana PRU kepada Pengarah Jabatan Pilihanraya Kawasan, Sharif Abdul Aziz disaksikan Yang Dipertua PAS Bagan Serai; Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan, di Markaz PAS Bagan Serai, di sini , 28 November lalu.
Akmal mengucapkan terima kasih kepada pemuda-pemuda kawasan yang berusaha mengumpulkan sumbangan bagi memudahkan gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pemuda mempunyai kredibiliti tersendiri bahkan semangat perjuang Islam harus seimbang dengan kefahaman akidah perjuangan sebenar agar tidak hanya mengikut tanpa panduan.
“Kekuatan PAS utama adalah memiliki pendokong dan penyokong yang benar-benar ingin melihat Islam mampu diaplikasikan dalam kehidupan sekaligus menjadi dasar pengurusan sebuah negara.
“Dalam tempoh masa berbaki menuju PRU 14, seluruh kerahan tenaga perlu digemblengkan melalui program-program ziarah rakyat, santuni masyarakat setempat dan strategi kempen berkesan,” katanya.