Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Berhikmah mendidik puasa anak-anak

212
SHARE

“Berhikmah Mendidik Puasa Anak-Anak”

Dalam kitab Man Yashūm Waman Yufthir Fi Ramadhān; Al-Dalil Al-Thibbi Wa Al-Fiqhi Fi Syahr Al-Shiyām karya Hassan Syamsi Basha menyatakan bahawa jangan ada pemaksaan semasa mendidik anak-anak berpuasa sebaliknya raikan kehendak mereka dengan berhikmah:

ويجب على الأم مراقبة طفلها أثناء صيامه فإذا شعرت بمرضه أو إرهاقه أو عدم تحمله الصيام، وجب عليها أن تسارع بإفطاره، لأن قدرة الطفل على الجوع والعطش أقل بكثير جدا من قدرة الشخص البالغ.

“Ibu mesti membuat pemantauan terhadap anaknya ketika berpuasa. Maka jika dia merasai bahawa anaknya itu sakit atau terlalu letih atau tidak mampu lagi meneruskan puasa, dia mesti cepat-cepat menyuruh anaknya berbuka puasa. Ini kerana kemampuan seorang kanak-kanak untuk berlapar dan berdahaga jauh lebih sedikit daripada orang dewasa”.

Pemantauan terhadap puasa anak-anak yang belum baligh hendaklah dilakukan pada setiap waktu. Jika ada sahaja illah ketidakmampuan mereka untuk teruskan, suruhlah mereka berbuka dan jangan terus memaksa mereka agar meneruskan puasa. Dalam hal ini, berhikmah pada mendidik psikologi mereka sangat penting supaya tidak lahir rasa terbeban dalam jiwa mereka untuk melaksanakan amal ibadat wajib. Walaubagaimanapun, jika sedikit perhatian diberikan dan puasa boleh diteruskan tanpa mudarat, biarkan mereka berpuasa.

Puasa adalah amalan teras hati, tidak boleh dilatih sebagaimana solat yang boleh dirotan jika masih tidak mahu solat ketika berumur 10 tahun. Hati memerlukan tadarruj atau didikan secara bertahap dan lebih cermat dalam mengendalikannya demi melahirkan anak-anak yang suka beribadah atas kehendak sendiri tanpa paksaan. Suruhan supaya berpuasa boleh bermula pada usia 4 atau 5 atau 6 tahun atau jika tidak mampu bermula usia 7 tahun sebagaimana suruhan untuk solat. Sesungguhnya kejayaan mendidik adalah terletak kepada kejayaan muraqabah ibu bapa dan pelaksanaannya berlandaskan tadarruj.

Asri ed-Diwanie
21 Ramadhan 1442