Home Berita PAS Pahang

Beras bubuk jualan rahmah untuk orang kampung

3975
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 18 Mei – Tular di media sosial penduduk di Kampung Sungai Ular dikejutkan dengan beras yang telah rosak dipenuhi dengan bubuk di sini malam tadi.

Menurut sumber yang dipercayai beras berkenaan dibeli semasa Program Jualan Rahmah Madani di Masjid Baharu Kampung Sungai Ular pada Sabtu lalu.

“Saya pulang dari kerja tadi, semasa nak masak nasi terkejut tengok beras yang baru saja dibeli telah rosak, ada bubuk dan berhabuk, keadaannya teruk tidak boleh dimakan lagi.

“Harga barangan sangat mahal sekarang, bila ada jualan beras murah, kami sanggup beratur panjang, sekurang-kurangnya meringankan bebanan kami, tetapi ini pula yang kami dapat,” katanya kepada Wartawan Rakyat Harakah ketika dihubungi.

Sementara itu salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Azam Zakaria yang memuat turun perkara ini di media sosial berkata beliau telah dihubungi oleh pihak penganjur jualan tersebut untuk menggantikan semula beras yang telah rosak.

“Saya berharap agar pihak penganjur perlu bertindak segera dan bertanggung jawab dalam soal ini, pihak masjid hanya menyediakan tempat sahaja dan tidak boleh dipersalahkan,” tegasnya.

Beliau menyeru kepada pembeli beras rosak agar dapat menghubunginya di talian 017-2877996 untuk mendapatkan maklumat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak penganjur.