Home Berita PAS Perak

Sifat siddiq bina persepsi baik buat PAS

92
SHARE


Oleh: AKIF DANISYA ISMAIL

TAMBUN: PAS tidak bekerja dan bergerak untuk menggerakkan persepsi, sebaliknya persepsi baik datang dengan sendirinya hasil dari keikhlasan berjuang, demikian ujar Mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Tuan Guru Sidek Noor.

Tegasnya dalam mencapai matlamat perjuangan, ahli PAS hendaklah berpegang kepada kebenaran kerana setiap kebenaran akan mengheret ke arah kebaikan dan mendorong ke syurga Allah begitu juga sebaliknya.

“Persepsi umpama bayang-bayang. Kerja kuat kita umpama objek. Kita hidup tak bina persepsi, kita nak gerak kerja yang betul. Tidak akan lurus bayang kalau tiangnya bengkok. Bagi gerak kerja kita betul. InsyaAllah persepsi (yang baik) akan datang. Persepsi akan datang sendiri berkat ikhlas kita dengan sesuatu perkara.

“Itu cara kita untuk dapat sokongan rakyat. Buat kerja bagi betul ikut panduan syarak, dapatkan kasih sayang Allah. Apabila Allah sayang kita, Allah akan panggil malaikat Jibril untuk beritahu penghuni langit untuk sayang kita juga. Kemuncaknya, kasih dari langit akan turun ke bumi seperti hujan. Penduduk bumi akan sayang kepada kita. Kita cari sokongan rakyat melalui menuntut kasih sayang Allah,” terang beliau.

Ustaz Sidek Noor turut berpesan kepada ahli PAS agar meningkatkan amalan-amalan penyucian hati seperti mengamalkan zikir harian, puasa sunat, Qiammullail dan sebagainya.

Jelasnya perkara-perkara demikian bukan sahaja dapat menambah pahala amal masing-masing, malah ia membantu proses penyucian hati dan akhlak baik para pejuang PAS.

“Kita tak mau PAS ni dianggap parti pembohong (dan perkara negatif lain). Jangan basuh najis dengan air najis. Sebab itu kita tak boleh fitnah balas dengan fitnah, bohong balas dengan bohong.

“Itu bukan kerja kita. Kita bukan nak kemenangan semata-mata, matlamat kita berjuang mencari redha allah. Menang kalah cerita lain, yang penting Allah redha,” ujar beliau lanjut.

Ustaz Sidek Noor hadir menyampaikan taujihat itu di dalam kuliah Tafaqquh Fiddin Zon Tanjung Rambutan bertempat di Markaz PAS Tanjung Rambutan, baru-baru ini.