Home Berita PAS Pahang

Tahniah! Dewan Pemuda PAS Pahang anjur majlis sambutan Hari Guru cara ‘terbuka’

1889
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 19 Mei – Buat julung kalinya, sambutan Hari Guru Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang 2024 berlangsung secara ‘terbuka’ dan meriah dengan kehadiran guru-guru PASTI, SRITI, SMITI dan MTIS seluruh Pahang memenuhi ruang legar Kuantan Parade, Kuantan, semalam.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih di dalam ucapannya berkata, ini merupakan satu kejayaan besar khususnya di peringkat sektor pendidikan DPPNP mampu mengadakan program secara terbuka di tengah-tengah masyarakat.

Dengan tema ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’ majlis gilang-gemilang ini dirasmikan Pengarah Jabatan SRITI Malaysia merangkap Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Azwan Ali Aziz.

Majlis ini bertujuan meraikan para guru yang telah banyak berkorban menyampaikan ilmu mendidik anak-anak daripada peringkat awal sekolah hinggalah ke peringkat rendah dan menengah.

“Pada hari yang berbahagia ini mari kita sama-sama doakan untuk kita, guru-guru kita, pelajar-pelajar serta semua yang terlibat agar Allah mudahkan jalan kita pergi ke syurga, insya-Allah.

“Apa yang penting, untuk dapat kelebihan yang nabi dan Allah sebut, kita di peringkat sektor pendidikan DPPNP dan saya kira semua para guru bertekad akan terus berjuang mendidik anak bangsa melahirkan pejuang-pejuang agama Allah di masa hadapan, insya-Allah.

“Ini tekad kita insya-Allah, mungkin bukan di zaman kita Islam akan menang, mungkin selepas kita mati amal jariah kita yang berterusan Islam akan menang sama ada di bumi Pahang ataupun di tanah air kita, insya-Allah,” ujarnya bersemangat disambut laungan takbir oleh para hadirin.

Sebanyak enam kategori dianugerahkan kepada para guru PASTI dan SRITI yang banyak berjasa termasuk anugerah khas, ‘Anugerah Jasa Pendidik’ diberikan kepada para pendidik yang telah kembali mengadap ilahi.

Kemuncak acara adalah penganugerahan Tokoh Guru PASTI 2024 yang membawa pulang pakej mengerjakan umrah disandang oleh Muallimah Nurul Ainon Mardiah Abdul Ghani daripada PASTI al Mustaqim, Bera.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Dr. Firdaus Ismail, Pengarah SRITI Pahang, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan Ketua Pengarah Sektor Pendidikan DPPNP, selaku ‘orang kuat’ majlis pada hari itu, Khairul Nizam Che Mustofai.