Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Bengkel dan Pelancaran Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang

972
SHARE

Bengkel dan Pelancaran Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang

25 November 2018, Pahang: Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat sinonim dengan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan semenjak dahulu lagi. Kerana prinsip yang dibawa oleh PAS ialah ianya bukan parti politik semata-mata. PAS membawa agenda yang lebih luas iaitu dari segi Tarbiyyah, Dakwah, Siyasah (Politik) dan Kebajikan.

Dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan, ianya bukanlah boleh dilakukan dengan semudah menghulurkan wang kepada peminta sedekah di kaki lima. Namun, ianya merangkumi banyak aspek dan pelaksanaan serta melibatkan pelbagai pihak.

Justeru, bagi memberi lebih pencerahan kepada seluruh ahli PAS di seluruh Malaysia berkenaan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan ini, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sekaligus melancarkan Bengkel Skuad Prihatin di seluruh Malaysia secara berperingkat.

Sebelum ini, beberapa bengkel telah berjaya dilaksanakan dan dilancarkan oleh beberapa buah negeri. Hari ini telah berlangsung dengan lancarnya satu lagi Bengkel dan Pelancaran Skuad Prihatin di peringkat Negeri Pahang.

Seramai 93 orang peserta dari 14 kawasan di seluruh negeri Pahang telah menyertai bengkel tersebut. Pelancaran Bengkel Skuad Prihatin ini telah diadakan di Balai Islam Darul Amin Sungai GAU, Temerloh. Bengkel ini juga telah dilancar dan dirasmikan oleh Ustazah Salamiah Bt Mohd Nor selaku Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP).

Turut hadir memberi penerangan dan pembentangan berkenaan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan ialah Dr. ‘Uyun Abdul Malek selaku Pengerusi LKK DMPM. Dr. ‘Uyun dalam pembentangannya telah menerangkan dengan jelas sekali beberapa perkara penting yang harus diambil perhatian oleh semua ahli Skuad Prihatin LKK DMP Negeri dan juga Kawasan (DMPK) seiring dengan hasrat yang ingin dicapai melalui pelan strategik DMPM.

Selain itu juga, Ketua Unit MusMedik LKK DMPM, Dr. Reen Mohd Amin turut hadir bagi membentangkan perkara-perkara penting berkenaan dengan sumbangan kebajikan dan kemasyarakatan dalam bidang perubatan. Alhamdulillah, di semua negeri di seluruh Malaysia termasuk negeri Pahang kini telahpun mempunyai Doktor mereka sendiri yang juga terlibat dalam Unit MusMedik Skuad Prihatin.

Semasa temuramah, Dr. ‘Uyun menyatakan harapan beliau dengan adanya bengkel seperti ini selain menyampaikan ilmu kepada ahli LKK DMPN dan DMPNK, ianya juga in shaa Allah menyuntik semangat ahli-ahli untuk terus bergiat aktif dan terus mara dalam menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat ikhlas kerana Allah. Tambah beliau lagi, selama ini juga beliau amat kagum melihat kesungguhan ahli-ahli Skuad Prihatin LKK tidak kira di mana jua, turun ke lapangan dalam susah dan senang menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang sedang ditimpa kesusahan dan musibah.

Ustazah Salamiah juga menyatakan rasa terharu dan bangga melihat kesungguhan para peserta dan pihak-pihak yang menjayakan bengkel sepanjang hari ini. Sedikit pesanan dan taujihat beliau kepada para peserta ialah, “Muslimat PAS jangan takut untuk memperkenalkan logo Parti PAS dalam program kebajikan. Semoga dengan pelancaran Bengkel Skuad Prihatin di Pahang hari ini akan menjadikan Skuad Prihatin lebih dikenali dengan membawa serta menjenamakan nama Muslimat PAS.”

Turut hadir memeriahkan bengkel hari ini juga ialah Timbalan Pengerusi LKK DMPM merangkap Ketua LKK DMP Wilayah Persekutuan iaitu Puan Zurina Din. Tidak ketinggalan juga, Ketua LKK DMP Negeri Pahang iaitu Cik Dalmah Bt Ismail meluahkan rasa syukurnya kerana melalui bengkel Skuad Prihatin hari ini, banyak maklumat dan ilmu yang beliau perolehi dan in shaa Allah akan memantapkan lagi gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan di negeri Pahang khususnya.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.
(Surah Al-Imran : 114)