Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Bengkel dan Majlis Pelancaran Skuad Prihatin Malaysia

833
SHARE

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2017: “Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Malaysia bukanlah sebuah entiti baru dan asing dalam PAS. Ia merupakan penjenamaan kepada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia dan adalah kesinambungan daripada Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat. Skuad Prihatin adalah manifestasi keprihatinan PAS kepada masyarakat keseluruhannya.” – Antara ucapan Dr. ‘Uyun Abdul Malek, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM).

Pada 28 Oktober 2017, julung-julung kalinya Bengkel Skuad Prihatin telah dianjurkan dengan jayanya di bawah LKK DMPM. Ia merupakan satu tarikh yang bersejarah bagi LKK DMPM di mana ahli-ahli LKK Dewan Muslimat PAS dari seluruh Malaysia hadir bersama-sama menjayakan bengkel tersebut yang diadakan di Bandar Tun Razak, Cheras.

Dalam bengkel tersebut, para peserta telah mendapat pendedahan daripada beberapa agensi berkenaan skim-skim kebajikan yang ditawarkan serta proses memohon. Secara keseluruhan, para peserta memberikan maklum balas yang sangat positif kerana segala input yang disampaikan akan dapat menambah baik gerak kerja LKK di tempat masing-masing. Komunikasi dua hala yang sangat rancak telah mewujudkan suasana yang lebih bersemangat sehingga masa terpaksa dianjak bagi meraikan para peserta yang rata-ratanya datang dari jauh.

Acara kemuncak yang dinanti-nantikan oleh semua yang hadir telah berlangsung di sebelah petang iaitu Majlis Pelancaran Skuad Prihatin DMPM. Bersempena dengan pelancaran Skuad Prihatin DMPM, satu lagi produk terbaru bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia telah diperkenalkan dan direka khas oleh LKK DMPM iaitu Manual Skuad Prihatin.

“Manual ini direka dalam saiz yang kecil agar mudah dibawa dan dirujuk, juga ringkas tetapi padat, lengkap dengan doa-doa pilihan sesuai dengan aktiviti yang dilakukan oleh para penggerak Skuad Prihatin. Besar harapan agar Manual Skuad Prihatin ini dapat dimanfaatkan dan mampu menjadi panduan lengkap seterusnya memudahkan gerak kerja yang dilakukan oleh para penggeraknya.” – Dr. ‘Uyun memberi harapan penuh kepada semua penggerak LKK di seluruh Malaysia.

Pelancaran Skuad Prihatin dan Manual Skuad Prihatin telah disempurnakan oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Turut hadir dalam Majlis Pelancaran tersebut ialah Cikgu Yusoff selaku Timbalan Pengerusi 2, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat dan Encik Mohd Shukor Aziz, Yang Dipertua PAS Kawasan Bandar Tun Razak selaku tuan rumah bagi majlis tersebut.

Ustazah Nuridah dalam ucapan beliau ketika Majlis Pelancaran tersebut berkata, “Kerja kebajikan memang sangat dititikberatkan dalam Islam. Islam mengajar umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan dengan manusia. Jika formula ini diberi penekanan, in shaa Allah kewujudan Negara Sejahtera akan menjadi kenyataan”.

“Oleh itu, marilah kita tingkatkan usaha ini dengan penuh kesedaran dan turun kepada masyarakat bagi merealisasikan tugasan ini. Mudah-mudahan ini akan membuka mata hati masyarakat bahawa PAS adalah organisasi yang boleh diberi kepercayaan untuk dipilih khususnya dalam PRU14 bagi memimpin negara ini.”

Ucapan Ustazah Nuridah disusuli dengan gimik pelancaran yang turut diserikan dengan lakonan daripada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi LKK DMPM sendiri. Di penghujung gimik tersebut, Ustazah Nuridah telah menyempurnakan pelancaran Skuad Prihatin DMPM dengan menyarungkan Vest Skuad Prihatin kepada Dr. ‘Uyun, Pengerusi LKK DMPM.