Home Artikel PAS Pahang

Belanjawan 2020 Negeri Pahang dari kacamata tiga Adun PAS

370
SHARE

Mesyuarat ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri Pahang ke 14, melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama lima hari yang termasuk di dalamnya pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bajet yang dianggap mesra rakyat itu berlangsung dengan lancar, sempurna, berjalan lancar dan harmoni.

Paling mengujakan ialah respon positif daripada pihak kerajaan terhadap isu-isu yang dibangkitkan Adun-adun PAS kali ini.

Bagi Adun Panching Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya, yang dilihat baik dalam belanjawan kali ini ialah perjuangan sebahagian Ahli-ahli Dewan khususnya daripada PAS ialah nasib Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) mendapat pembelaan daripada   kerajaan negeri dengan mengeluarkan peruntukan tambahan untuk  menubuhkan akaun Tabung kumpulan wang amanah SMAN.

Ini sudah tentulah merupakan harapan baru dan berita baik kepada seluruh tenaga pengajar SMAN serta perkembangan pendidikan Islam dalam negeri ini sendiri .

Katanya, jawapan yang positif daripada Exco Belia dan Sukan terhadap galakan kepada atlet-atlet Muslim untuk menutup aurat, juga sangat menggembirakan.

“Walaupun bersukan namun menutup aurat tetap merupakan perkara perlu. Justeru sebagai sebuah kerajaan, sentiasa memberi nasihat dan teguran kepada rakyat untuk hidup lebih berkat dengan menurut syariat.

“Jawapan Exco perumahan pula turut membanggakan. Kerajaan Pahang yang cakna terhadap keperluan rakyat dalam menawarkan rumah mampu milik. Antaranya rumah Prima dan Rumah Makmur. Inilah antara perumahan yang dinanti-nantikan dan menjadi harapan kepada rakyat untuk memiliki kediaman.

“Jika kita lihat kediaman-kediaman yang ada hari ini menawarkan harga sangat tinggi, tidak mampu milik,  dengan adanya tawaran daripada kerajaan, ini menjadi sebahagian daripada tempat untuk rakyat menumpang nasib bersama dengan kerajaan”.

Adun Beserah, Andansura Rabu pula memuji kesungguhan kerajaan negeri untuk memartabatkan jawi.

Katanya, ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan Pahang untuk memperkasakan tulisan jawi itu adalah di mana PAS juga turut menyokong usaha-usaha untuk dipamerkan pada  papan tanda, iklan perniagaan dan di mana yang perlu ada, yang akan dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dari sudut ekonomi fokus kerajaan untuk melonjakkan ekonomi negeri supaya menjadi negeri yang berdikari, dilihat mempunyai satu permulaan yang baik dengan usaha untuk menubuhkan  empat daerah kecil pada tahun hadapan  dan memperbadankan Cameron Highlands.

“Ini adalah usaha permulaan yang baik untuk melonjakkan suasana ekonomi negeri Pahang supaya kita boleh berdikari serta dalam rangka  mencapai hasrat untuk mengutip hasil RM1 bilion ringgit dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang

“Yang kedua, usaha-usaha untuk memberikan keberkesanan perkhidmatan dilihat menghasilkan penjimatan sehingga mampu membuat penjimatan hampir 12 juta ringgit pada tahun lepas dan kita jangkakan penjimatan yang sama akan dilakukan melalui perbelanjaan berhemah.

“Tugas kami sebagai Adun PAS ialah untuk menerangkan kepada orang ramai tentang pendapatan kerajaan negeri serta mendapatkan sokongan daripada rakyat. Saya rasa tahun hadapan kita akan dapat lihat hasil dengan jangkaan pendapatan yang lebih baik lantaran cara perbelanjaan yang lebih baik dengan perbelanjaan berhemah”.

Bagi Adun Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar pula, Sidang Dun Pahang kali ini ada membahaskan perkara yg berkaitan  sokongan terhadap produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF).

Jelasnya, melaluinya beliau sempat memberikan kefahaman kepada rakyat bahawa kempen membeli barangan muslim bukanlah sikap untuk memboikot produk-produk daripada buka Islam.

“Sebaliknya, ia adalah bertujuan  keseimbangan  dari sudut ekonomi dan ia lebih tertumpu kepada soal-soal produk pemakanan kerana terikat dengan syariat Islam. Maka di atas sebab itu kami bahaskan dan alhamdulillah mendapat sambutan dan respon yang baik.

“Kami juga ambil kesempatan membuat teguran kepada rangkaian perniagaan milik Majlis Agama Islam Pahang Pasaraya Darul Makmur (PDM) yang kita lihat sebagai pasaraya alternatif bagi umat Islam mendapatkan produk-produk muslim untuk kita bantu ekonomi umat Islam khususnya.

“Tidak lupa, kami juga mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pahang di atas bajet surplus (lebihan) pada kali ini. Pada 2018 kerajaan membuktikan perbelanjaan yang berhemah dan berjimat cermat sehingga mendapat lebihan bajet hampir 13 juta ringgit.”

Tambahnya, Belanjawan 2020 kali ini diharap unjuran surplus sebanyak 4.1 juta dapat diterjemahkan dan boleh dicapai.