Home Kenyataan Media PAS Terengganu

Beban Hutang Pendidikan

1962
SHARE

Kenyataan Media

Ahli Parlimen Kuala Nerus

4hb April 2018 | 17 Rejab 1439H

BEBAN HUTANG PENDIDIKAN

1. Soalan saya di Dewan Rakyat hari ini ialah berkaitan dengan prosedur menyenaraihitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman PTPTN setelah menamatkan pengajian.

2. Pendidikan termasuk pendidikan tinggi adalah hak asasi dan keperluan rakyat khususnya bagi membina negara maju dan sejahtera. Tetapi, kerana tiga faktor iaitu ketidakmampuan keluarga, kos pengajian yang tinggi dan tiada tabung pembiayaan pendidikan peringkat nasional berkonsepkan hibah (hadiah), maka rakyat terpaksa meminjam.

3. Apabila tamat pengajian, kerana ketiadaan pekerjaan dan kos kehidupan semakin meningkat, mereka tidak mampu pula membayar hutang pendidikan. Kerajaan hanya memberi tempoh selama 12 bulan sahaja untuk memulakan pembayaran balik. Jika tidak, maka nama mereka akan disenaraihitamkan. Justeru, mereka terpaksa memulakan kehidupan selepas alam pengajian dalam keadaan terbeban, tidak mampu “berlari” laju.

4. Hari ini, hutang pendidikan merupakan salah satu komponen utama hutang isi rumah terutamanya dalam kalangan belia. Akibat ketidakmampuan atau kegagalan untuk membayar semula hutang ini, para peminjam menghadapi pula kesulitan-kesulitan lain kesan disenaraihitamkan. Sedangkan, salah satu faktor utama ketidakmampuan atau kegagalan untuk membayar semula hutang itu ialah kerana tidak mendapat pekerjaan dan tiada pendapatan.

5. Senario ini boleh dilihat menerusi Laporan Tahunan 2016 Bank Negara Malaysia yang antaranya menyatakan :

(a) Pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015 iaitu tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.

(b) Pengangguran belia semakin meningkat dalam tempoh kebelakangan ini kerana kadar pengambilan pekerja yang menurun sejak akhir tahun 2014 disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati dan prestasi ekonomi yang makin sederhana.

(c) Kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berpendidikan tinggi adalah lebih tinggi pada 15.3%, berbanding belia yang tidak berpendidikan tertiari iaitu 9.8%.

6. Oleh itu saya berpandangan :

(i) Sudah sampai masanya Kerajaan memperbanyakkan tabung-tabung pembiayaan secara percuma untuk membiayai kos yuran dan kos kehidupan sepanjang pengajian dengan kerjasama kerajaan negeri dan korporat.

(ii) Kerajaan perlu membuat persediaan ke arah menjadikan yuran pendidikan pengajian tinggi khususnya adalah PERCUMA di universiti awam.

(iii) Melupuskan hutang PTPTN yang masih tertunggak sebagai ganti rugi ke atas pengangguran yang berlaku dan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI