Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Batu Sapi : Norma Baharu Dan Calon Rakyat Yang Tidak Terikat Dengan Parti

495
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

21 SAFAR 1442  l  9 OKTOBER 2020

BATU SAPI : NORMA BAHARU DAN CALON RAKYAT YANG TIDAK TERIKAT DENGAN PARTI

1.  Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyarankan kepada pihak SPR supaya meneliti dengan terperinci dan membuat satu solusi yang tepat agar PRK Batu Sapi yang bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober yang lalu, dilaksanakan dalam keadaan norma baharu bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

2. Selaras dengan Perkara 54 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, kekosongan kerusi dengan diadakan Pilihan Raya adalah pengamalan sistem demokrasi yang diamalkan di negara Malaysia dan ia menjadi hak rakyat dalam memilih pemimpin di kawasan mereka sama ada peringkat Parlimen atau ADUN yang tidak boleh diabaikan.

3. DUPP juga menyarankan agar keutamaan dalam PRK Batu Sapi diberikan kepada calon bebas atau calon rakyat yang tidak terikat dengan mana-mana parti dan jauh sekali ia menjadi gelanggang perlumbaan atas nama parti bagi menghormati perasan netizen yang tertekan dengan situasi angka terkini covid19 di Sabah. Ia hanya sebagai cadangan singkat. Dalam konteks demokrasi, sesiapa sahaja berhak untuk menampilkan diri dengan kredibiliti dan profesional yang baik asalkan membawa kebaikan serta menjaga kepentingan maslahat umum untuk rakyat.

4. Sistem demokrasi pilihanraya di Malaysia sejak kali pertama diadakan disertai oleh parti-parti politik yang bertanding adalah atas kesesuaian gerak kerja politik dalam suasana pendekatan muwajahah silmiyyah (berhadapan / bersaing secara aman) untuk memastikan kuasa politik diserahkan kepada ahli yang layak dengan syarat amanah serta berintergriti. Ini bersesuaian dengan kriteria kepimpinan yang dinyatakan dalam firman Allah SWT :

إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ

Maksudnya :
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
[Surah Al-Qasas 26]

5. Berdasarkan kepada kefahaman ayat di atas, rakyat berkewajipan menurut perintah agama dalam menunaikan tanggungjawab mengundi kerana dalam pemilihan pemimpin menerusi wasilah demokrasi yang dijalankan. Berdasarkan kaedah fiqh :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب

Maksudnya :
“Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib.”

6. Pilihanraya bukan soal mengejar jawatan tetapi ia adalah hak rakyat dalam memilih pimpinan yang mewakili suara mereka untuk diangkat ke peringkat sidang Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sebagai punca kuasa kerana termasuk dalam bidang eksekutif yang diamalkan. Disebabkan itu, undian yang diberikan oleh rakyat dihukumkan sebagai penyaksian dan wajib memberikan penyaksian yang benar. Firman Allah SWT :

وَأَقِیمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَ لِلَّهِۚ

Maksudnya :
“Dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.”  – [Surah At-Talaq 2]

7. Namun begitu, PRK yang dijalankan dalam situasi wabak pandemik COVID-19 mestilah dalam keadaan norma baharu bagi mengelakkan sesuatu kesan buruk yang boleh memburukkan keadaan lagi. Pihak SPR perlu menyediakan pelan strategi untuk dipatuhi termasuk kaedah kempen, tempoh berkempen, pencalonan dan teknikal pengundian yang kesemuanya mestilah mengambil kira agar tidak berlaku himpunan, kesesakan dan sentuhan fizikal antara satu sama lain.

8. Wabak pandemik COVID-19 yang melanda pastinya tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat, maka sudah pasti persediaan ke arah teknikal pilihanraya yang lebih moden dan sesuai dengan zamannya perlu dikehadapan. Jika difikirkan kesesuaian undian menerusi dalam talian (online) itu wajar, maka tidak salah dilaksanakan dengan syarat asas ia perlu telus dari sebarang penipuan dan manipulasi sebahagian pihak berkepentingan.

9. Beberapa jalan penyelesaian yang dicadangkan bagi dipertimbangkan oleh pihak SPR untuk pelaksanaan PRK dalam keadaan norma baharu ialah seperti berikut :

i. Tiada perarakan penamaan calon.
ii. Tiada majlis pengisytiharan calon secara fizikal.
iii. Tiada kempen fizikal secara terbuka sama ada daripada calon, pengundi atau sesiapa sahaja.
iv. Tidak dibenarkan selain daripada pengundi untuk keluar / masuk di kawasan yang diadakan pilihanraya.
v. Tiada dibenarkan pembukaan khemah panas atau pondok panas dan bilik gerakan.

Sekian.

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)