Home Berita PAS Melaka

Bantu kerajaan di PPV cepatkan vaksinasi, bukan pergi demonstrasi – Jamarudin

31
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 1 Ogos : Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamarudin Ahmad berpendapat adalah lebih baik anak-anak muda menjadi sukarelawan membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) daripada menyertai demonstrasi.

Menurut beliau apa yang ditunjukkan oleh anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang membantu kerajaan di PPV adalah sesuatu yang sepatutnya diikuti oleh anak-anak muda sekiranya mereka berasa tertekan dengan sekatan akibat pandemik Covid-19.

“Bagi saya sepatutnya warganegara tidak perlu menyertai perhimpunan sebegini ketika jumlah jangkitan tinggi. Ini kerana antara ubat yang paling mujarab ketika ini ialah penjarakan,” ujar beliau.

Jamarudin yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dun (JPRD) Lendu berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) bagi mengulas tentang demonstrasi ‘Keluar dan Lawan’ yang didalangi pembangkang dan berlangsung di sekitar Ibu Kota semalam.

Tambah beliau, program ini tidak sesuai sama sekali memandangkan kadar R-naught atau kadar kebolehjangkitan yang sangat tinggi dan varian Delta yang sedang merebak secara sporadik sekarang boleh mempercepatkan jangkitan lebih-lebih lagi dalam program seperti ini.

Mengulas tentang foto dan video yang tular berkaitan demonstràsi itu yang menunjukkan aksi biadab para demonstran yang menunjukkan isyarat lucah ketika berdemonstrasi beliau berpendapat bahawa sudah pasti perhimpunan ini dihadiri oleh mereka yang tidak berfikiran matang.

“Kalau mereka ni beragama Islam maknanya mereka kurang didikan agama atau bermoral rendah. Ia juga mencerminkan sikap penganjur dan parti politik itu sendiri yang biadab,” ujar beliau.

Selain itu kehadiran beberapa orang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam program itu juga menunjukkan bahawa mereka ini adalah dalang kepada perhimpunan ini di samping menggalakkan dan bersekongkol melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau turut berharap agar mereka dapat dihadapkan ke muka pengadilan kerana menyertai perhimpunan haram dan melanggar ketetapan MKN dan KKM.

“Bukan sebab kita nak sekat kebebasan rakyat tapi tindakan mereka ini boleh membahayakan nyawa orang ramai kalau perhimpunan itu menyebabkan wujudnya kluster baharu.

“Penganjur dan ahli politik yang terlibat juga perlu diambil tindakan yang sewajarnya kerana tidak menghiraukan kesan bahaya pandemik Covid-19 ini dan memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.