Home Kenyataan Media PAS Melaka

Bantah budaya rosak ‘unboxing’ pengantin

458
SHARE

Kenyataan media
Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah

BARU-BARU ini tular di media sosial trend terbaru pasangan pengantin yang baru sahaja sah bergelar suami isteri iaitu ‘unboxing pengantin’ termasuk melibatkan anak muda wanita yang bertudung.

Walaupun ia hanya memaparkan suami membantu menanggalkan “veil” si isteri, namun perkataan “unboxing” itu sendiri mempamerkan salah faham serta mengundang kesan yang tidak baik dalam masyarakat kita hari ini.

Justeru itu, kami Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah membantah sekeras-kerasnya budaya rosak ini agar tidak terus menjadi parah dalam masyarakat kita serta perlu segera dihentikan.

Pesanan dan nasihat buat yang bergelar suami, tunjukkan sikap yang baik agar menjadi ikutan buat isteri. Jangan biarkan aurat isteri kalian menjadi tontonan mata-mata di luar sana.

Peliharalah dan lindungilah mereka dengan sebaiknya. Manakala buat yang si isteri, jagalah maruah kalian kerana Islam sangat memuliakan maruah seorang wanita. Jauhi diri dari menjadi punca terbukanya pintu fitnah dan keaiban. Hiasilah diri dengan rasa malu kerana ia pelindung diri kepada wanita.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan”.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”. (Surah an-Nur ayat 30-31)

Hiasilah dirimu dengan sifat malu wahai yang bergelar WANITA!

“Seindah perhiasan adalah WANITA SOLEHAH”

DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN MASJID TANAH