Home Berita PAS Johor

Banjir : Warga emas lega AMAL Johor bantu

146
SHARE

Oleh : ABU HADIF 

SRI Gading, 15 Sept : Kerahan operasi Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor (JAMNJ) membantu membersihkan rumah penduduk dari kalangan warga emas yang terkesan berikutan banjir kilat meringankan beban mereka, di sini, semalam.

Menurut seorang warga emas yang tidak mahu namanya disiarkan, air yang naik secara tiba-tiba pada awal pagi semalam menyebabkan beliau sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan yang penting ke tempat lebih tinggi.

Beliau juga bersyukur air surut dengan cepat di kawasan perumahannya berbanding kawasan yang lain dan tidak mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau turut berterima kasih dan mengucapkan syukur atas bantuan yang diberikan oleh sukarelawan JAM yang sudi membersihkan rumah beliau dan penduduk lain yang kotor rumahnya akibat dimasuki air banjir.

Komandan JAM Sri Gading, Khairul Nizam ketika dihubungi berkata, operasi yang bermula sejak petang semalam mensasarkan pembersihan rumah-rumah mangsa banjir dari kalangan warga emas di sekitar Kampung Sri Gading yang banjirnya telah surut.

“Antara kawasan terjejas ialah Kampung Sri Gading, Solok Wan Moh, Parit Besar, Panchor dan beberapa lagi kawasan kampung yang berkawasan rendah,” menurutnya.

Beliau melaporkan seramai 10 orang anggota yang bersedia dengan mesin dan peralatan pembersihan selengkapnya telah hadir untuk membantu operasi sejak semalam dan akan bersambung pada hari ini dengan diketuai oleh Pengarah JAMNJ sendiri.

Terdahulu, anggota JAMNJ juga telah membantu penduduk memotong sebatang pokok yang tumbang akibat arus deras banjir, yang menghalang lalulintas utama, di sini semalam.

Semalam telah berlakunya banjir kilat akibat daripada fenomena air pasang besar yang mengakibatkan beberapa buah penempatan penduduk di sini terjejas dengan kenaikan air secara mendadak sejak jam 1.30pagi, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) di SMK Seri Gading juga telah dibuka untuk menempatkan kira-kira 190 keluarga mangsa banjir kilat di sekitar kawasan Sri Gading sejak semalam.

Dan menurut laporan terkini, majoriti mangsa telah kembali ke rumah masing-masing untuk pembersihan berikutan air yang telah surut di kebanyakan kawasan.