Home Berita PAS Pulau Pinang

Banjir: KM Permatang Pauh tabur bakti ke Selangor, Pahang

250
SHARE

Oleh Aishah Nur

PERMATANG PAUH, 5 JANUARI – PAS Kawasan Permatang Pauh bersimpati dengan mangsa-mangsa banjir dibeberapa negeri terutama Selangor dan Pahang.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Amir Hamzah Abd Hashim yang juga Pengarah Khidmat Malaysia (KM) Permatang Pauh telah menggerakkan pasukan misi bantuan.

Menurut beliau, pasukan pertama digerakkan pada 25 Disember 2021 dengan kekuatan seramai 25 orang sukarelawan untuk operasi pasca banjir bagi membantu dan membersih sekitar kawasan Sri Muda Shah Alam dan Kuala Langat.

Katanya lagi, dalam operasi tersebut, sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai juga diagihkan kepada mereka yang terkesan.

Khidmat Malaysia Permatang Pauh kemudianya meneruskan misi kedua ke Kampung Gantok, Kampung Batu Kapor dan Kampung Pertapa, Mentakab dan Temerloh Pahang pada 2 Januari.

Kata Amir Hamzah, rombongan sukarelawan seramai 35 orang ini juga turut menyediakan makanan serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Daerah Temerloh dan Mentakab.

Tambah beliau, kejadian banjir yang berlaku sangat menyayat hati, ramai yang menjadi korban serta kehilangan kediaman dan harta benda.

“Kami merasa sangat bersyukur diberi kesempatan untuk memberi sedikit khidmat buat keluarga besar kita yang dalam kesempitan dan sangat memerlukan, ” katanya lagi.

“Pengalaman operasi ini memberi makna yang mendalam dalam mengajar erti bersyukur dan bukti kebesaran Allah,” ujarnya kepada Harakah pada 3 Januari 2022.

Amir Hamzah menyeru semua pihak memberi perhatian serius akan isu-isu keselamatan dan persedian menghadapi bencana dalam kalangan masyarakat.

Hal ini katanya dapat mengurangkan sebarang risiko kehilangan nyawa serta harta benda dapat diurus.