Home Berita PAS Johor

Banjir Johor kritikal, jumlah mangsa hampir 40 ribu orang

1011
SHARE

Oleh M RAZIF JAMAL

SIMPANG RENGGAM, 4 MAC : Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) memberikan perhatian serius terhadap perkembangan banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri khususnya di negeri Johor.

Menurut Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataannya menyatakan keadaan banjir di Johor semakin kritikal ketika ini dengan mangsa banjir sudah menghampiri seramai 40 ribu orang.

“Sehingga kini, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 37,619 orang di sembilan daerah terjejas, setakat jam 10 pagi ini.

“Ia (jumlah mangsa) membabitkan seramai 10,891 keluarga yang dipindahkan ke 253 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sembilan daerah.

“Hujan masih turun berterusan di Johor sehingga kini melibatkan hampir semua daerah sejak tengah hari semalam dan belum ada tanda-tanda hujan akan berhenti, ” menurut beliau.

Khairul Faizi juga menyatakan daerah Segamat adalah daerah paling teruk terjejas dengan mangsanya melonjak kepada 13,358 mangsa daripada 3,921 keluarga di 77 PPS diikuti dengan Daerah Batu Pahat, Kota Tinggi dan Muar.

Beliau menambah, Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) terus memantau keadaan banjir di Johor, dan juga akan memantau keadaan semasa bencana banjir serta menguruskan gerakerja petugas dan sukarelawan untuk ditempatkan di kawasan yang ditentukan.

“Ketika ini, Khidmat Malaysia memfokuskan kepada fasa Menyelamat (Rescue) melalui pasukan Jabatan Amal Malaysia (JAM) di Parlimen Pagoh, Labis, Sekijang, Segamat dan Kota Tinggi.

“Bot penyelamat JAM ditempatkan di Sri Medan, Batu Pahat kerana keadaan mangsa yang masih ramai lagi terperangkap ketika ini,” ujar beliau.

Beliau turut membuka peluang kepada orang ramai untuk membuat sebarang sumbangan disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) bagi membantu mangsa bencana banjir yang terlibat.