Home Berita PAS Johor

Banjir Johor : PAS Muar bantu operasi bersih rumah mangsa banjir Segamat

164
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 10 Jan : PAS Kawasan Muar telah turun membantu operasi membersihkan rumah mangsa banjir di Segamat, kelmarin.

Menurut Ketua Dewan Pemuda, Hadi Abu Bakar, petugas adalah gabungan tenaga dari Jabatan Amal (JAM) Muar, ARC Muar dan Dewan Muslimat Muar seramai 16 orang.

“Selain itu, kami turut dibantu oleh dua orang anggota JAM Segamat dan dua orang ahli Khidmat Malaysia (KM) Johor,” tambah beliau lagi.

“Operasi kami bermula sekitar jam 11.00 pagi di Kampung Kuala Paya di sebuah rumah yang agak besar dengan tujuh buah bilik.

“Hampir 95% barangan dan kelengkapan rumah musnah teruk. Hampir tiga jam masa diambil dalam operasi tersebut termasuk memunggah keluar barangan yang musnah.” ujar Hadi.

Seterusnya disambung dengan kerja-kerja mencuci barangan yang masih elok, mencuci lantai dan dinding seluruh rumah tersebut.

Di samping membantu kerja pembersihan, disampaikan juga sumbangan 10 set toto narita, 2 set kit solat, 2 set toto bayi dan dua buah bantal kepada tuan rumah.

Terdahulu sebelum itu, pada tujuh Januari, wakil JAM Muar, Ustaz Hairi Hamzah telah hadir menyumbang tenaga bersama anggota JAM dari kawasan lain membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas dan penyumbang yang banyak membantu kelancaran operasi misi bantuan banjir ini,” kata Hadi mengakhiri kata.