Home Berita PAS Melaka

Azizan, tokoh usahawan meninggal dunia aķibat Covid-19 selamat dikebumikan

3451
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 11 Ogos: Tokoh usahawan Masjid Tanah, Azizan Hassan, yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang sebentar tadi.

Allahyarham Azizan, 43, yang juga merupakan mantan Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad, iaitu syarikat pelaburan milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), menghembuskan nafas terakhir malam tadi di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka pada jam 10 malam selepas ditidurkan sebelum itu.

Terdahulu Allahyarham, bersama isteri, Ainon Fazilah Mohamad, 36, serta tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun menjalani kuarantin selama 10 hari di kediaman mereka di sebuah taman di sini, mulai 23 Julai lalu.

Menurut isterinya, beliau dan tiga anaknya tidak bergejala manakala Allahyarham mengalami demam panas dan beliau telah membawanya ke Hospital Alor Gajah pada 24 Julai lalu.

Tambah isterinya lagi, doktor memindahkan Allahyarham ke wad biasa di Hospital Melaka pada 25 Julai manakala dia bersama anak-anaknya menjalani kuarantin di rumah.

Menurutnya lagi, oleh kerana keadaan demamnya yang bertambah teruk, Allahyarham telah dipindahkan ke ICU selepas sembilan hari dirawat di wad biasa.

Katanya, sepanjang berada di ICU, Azizan mengalami masalah pernafasan berikutan kadar oksigen dalam tubuh semakin berkurangan yang menyebabkan Allahyarham terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Allahyarham adalah merupakan seorang usahawan berjaya dan pemilik kepada Copycent Sdn Bhd yang memiliki rangkaian kedai fotostat dan alat tulis sekitar Daerah Alor Gajah.

Beberapa bulan lepas beliau baru sahaja membuka sebuah kedai serbaneka Elzan berhampiran kedai alat tuĺisnya di Taman Bandar Baru Masjìd Tanah.