Home Minda Presiden

Autonomi Jalan Terbaik Tangani Konflik Marawi

631
SHARE

Transkripsi Ucapan Presiden PAS

AUTONOMI JALAN TERBAIK TANGANI KONFLIK MARAWI

Firman Allah S.W.T:
﴿سُنَّةَ مَنْ قَدْ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنْ رُسُلِنَا وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيلًا٧٧﴾ [الإسراء: 77]

“Begitulah peraturan alam yang Kami tetapkan kepada sesiapa sahaja yang Kami utuskan menjadi Rasul di kalangan Rasul-rasul kami dan kami tidak sekali-kali mengubah peraturan itu” ( Surah Al-Isra: 77)

Marilah kita merenung sejenak kepada ayat yang dibaca untuk pembukaan majlis pada hari ini menyatakan senario perjalanan Islam yang dibawa oleh Rasul-rasul A.S. Berlakunya pasang surut, rebah dan bangun, menang dan kalah, maju dan mundur. Begitulah semangat sempena dengan himpunan yang diambil nama Bandar Marawi tetapi banyak kalangan kita tidak baca. Marawi adalah Bandar Islam, bandar bagi negeri Lanau, satu negeri di Mindanao. Merupakan wilayah Islam zaman dahulunya termasuk Wilayah Islam Alam Melayu yang luas dari Acheh, Champa sehingga Merauke, seluruh kepulauan ini dikuasai oleh Islam.

Namun dimusnahkan oleh kedatangan penjajah yang telah memecah dan membahagikan wilayah-wilayah ini di tangan kuasa-kuasa penjajahan British, Belanda, Filipina termasuk Amerika, Perancis. Alhamdulillah sebahagian besar telah mencapai kemerdekaan, namun Filipina teruk terjebak dalam konflik politik yang perlu diselesaikan oleh umat Islam.

Alhamdulillah hasil daripada negara jiran serumpun khususnya Malaysia, Tan Sri Syed Hamid menjadi Menteri Luar pada masa itu termasuk NGO-NGO Islam telah berjaya memujuk supaya menerima autonomi setelah berlakunya peperangan yang berlarutan beberapa abad sejak datangnya penjajah.

Perlu diketahui Manila itu Fi Amanillah. Wilayah Islam. Tinggal selatan sahaja dipertahankan oleh saudara kita dikenali oleh saudara Moro, gelaran diberi penjajah Filipina. Mereka namakan Moro yang menentang penjajah Filipina sebagaimana orang Islam menentang penjajah di Andalusia.

Autonomi adalah pilihan terbaik kerana dalam hubungan antarabangsa Islam mendahulukan perdamaian. Perang adalah terpaksa.
Firman Allah Ta’ala:

﴿وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١﴾ [الأنفال: 61]

“Jika sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian walaupun di tengah-tengah kamu berperang maka terimalah perdamaian itu dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui(61)” [Surah Al-Anfal: 61]

Dan Allah memberi jaminan apabila berlaku penipuan yang dibimbangi:

﴿وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ﴾ [الأنفال: 62]

“Jika sekiranya mereka mahu menipu kamu, cukup Allah memelihara kamu” (Surah Al-Anfal: 62)

Cara damai hendaklah diutamakan khususnya di wilayah-wilayah umat Islam sendiri walaupun telah berubah. Ada yang meninggalkan agamanya tetapi masih serumpun.

Memilih cara peperangan mengundang campur tangan asing melakukan perang proksi di tanah air umat Islam sendiri.

Kita menyaksikan apa yang berlaku di negara-negara Asia Barat yang memilih pendekatan bersenjata, berlaku perang proksi di mana umat berperang bagi pihak negara-negara asing dengan duit kita, senjata musuh membunuh sesama kita sendiri. Khususnya dalam konteks untuk mengembalikan umat kepada Islam itu maka autonomi cara yang terbaik memberi ruang untuk menyatakan Islam secara damai kepada pihak yang lain khususnya kalangan sebangsa yang sudah jauh meninggalkan agama itu.

Apa yang menarik ialah cahaya Islam tidak boleh dipadamkan:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨﴾ [الصف: 8]

“Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut-mulut mereka, Allah tetap menyempurnakan cahaya Islam ini walaupun dibenci oleh musuh-musuhnya.” (Surah As-Saff: 8)

Apa yang berlaku Islam yang diganyang dan dihentam habis-habisan itu tidak boleh dipadamkan cahayanya. Dunia menyaksikan kegagalan agama-agama yang lain daripada Islam. Gereja-gereja yang ditinggalkan di Eropah dan Amerika, ada yang dijual menandakan tidak ada lagi penganut di kalangan generasi muda mereka. Kehancuran ideologi komunisme yang meruntuhkan kuasa besar dunia Soviet Union di abad yang lalu dan kita menyaksikan negara-negara komunis seperti China yang besar itu, Cuba dan lain-lain mengubah dasar komunis kepada ekonomi liberal yang lebih kapitalis daripada kapitalis.

Kita menyaksikan juga merudum liberal kapitalis menghadapi kemusnahan bukan saja moral malah ekonomi, memberi kesan kepada ekonomi dunia pada hari ini. Ini peluang kepada Islam. Namun sikap cemburu dan benci kepada Islam masih wujud. Ini cabaran yang kita hadapi.

Ketika berlakunya keruntuhan Soviet Union terdapat pemikir-pemikir Barat seperti Francis Fukuyama, Henry Kissinger menyanggah pandangan mengatakan bahawa dunia tinggal satu tamadun sahaja (iaitu) tamadun Barat. Mereka menganggap Islam masih ada cahayanya tak boleh dipadamkan. Dengan sebab itu Islam menjadi sasaran. Serangan bersenjata hanyalah membunuh nyawa dan jasad. Yang membahayakan serangan pemikiran yang melanda umat Islam melemahkan iman dan moral mereka dalam masa yang sama menyebarkan apa yang dinamakan islamofobia, sikap kebencian terhadap Islam, permusuhan terhadap Islam.

Malangnya terdapat umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan agenda Barat ini. Berlakunya tindakan melampau, tindakan ganas di luar ajaran Islam kerana semangat terlalu tinggi melaksanakan ajaran Islam tanpa Tafaqquh fid Din. Perlu mengetahui bahawa semua ajaran Islam itu ada feqahnya. Aqidah ada feqahnya, solat ada feqahnya, haji ada feqahnya, jihad ada feqahnya. Lihat kalau orang pergi haji tanpa feqah melontar dengan batu besar lengan kepada kawan sendiri di Mekah. Semangat tinggi melontar, tidak feqah haji. Begitulah tidak feqah jihad membunuh sesama sendiri, mengebom masjid bukan sahaja pasar dan hotel sehingga mendokong dan menyalakan Islamofobia yang dinyalakan oleh Barat.

Bandar Marawi menghadapi krisis ini beberapa tahun dahulu. Tak perlu sebut nama siapa yang terlibat, mencetuskan keganasan, pembunuhan. Yang matinya orang-orang Islam lebih ramai daripada orang bukan Islam kerana melampau ini. Alhamdulillah kita dapat meredakan keadaan sehingga berjaya mencapai melaksanakan autonomi yang sedang dilaksanakan.

Apa yang penting ialah semua pihak perlu terlibat membantu rakan-rakan kita mengambil ruang dan peluang daripada autonomi ini. Saya memperingatkan kepada NGO-NGO, Yayasan Amal dan lain-lain supaya menumpukan perhatian kepada jiran tetangga, sahabat handai yang dekat dengan kita kerana saya dapati terlalu banyak sangat aktiviti yang bercelaru, berterabur ke sana ke mari sampai ke Afrika, sampai ke mana-mana semangat tinggi sedangkan kawasan kita tak habis kita bantu dan kita tolong di Filipina, di Indonesia, Rohingya yang dekat dengan kita tetapi pergi ke tempat lain jauh-jauh. Bukan tak boleh tetapi mesti mengutamakan jiran dan serumpun dahulu.

Langkah yang diambil untuk membantu jiran serumpun ini mendapat tiga fadilat. Pertama fadilat saudara seIslam. Kedua fadilat silaturrahim. Ketiga fadilat jiran tetangga. Tiga fadilat kita dapat kalau laksanakan ini. Silaturrahim ini perlu dihuraikan dengan makna yang luas kerana Nabi kita Muhammad S.A.W. pernah berwasiat kepada sahabat-sahabatnya bila kamu pergi ke Mesir, kamu hendaklah berlaku baik kepada rakyat Mesir kerana mereka ada hubungan silaturrahim dengan aku kerana Hajar, ibu Ismail daripada Mesir. Nabi Ismail bin Ibrahim AS yang jaraknya ribu-ribu tahun melahirkan beberapa bangsa. Kalau dikira berapa ribu pupu kita tak tahu. Kita kira sekadar dua tiga pupu empat pupu sahaja. Ini ribu pupu. Nabi masih menyebut silaturrahim dengan Mesir kalau kamu pergi ke sana.

Begitulah hubungan kita dengan negara jiran sebelah kita ini. Mindanao, Rohingya dan lain-lain. Hubungan yang sangat dekat kerana itu tumpuan perlu diberi kepada negara yang dekat ini.

Mudah-mudahan seminar dan muktamar yang kita adakan ini menjadi satu aktiviti mengeratkan hubungan sekurang-kurangnya melaksanakan aktiviti yang lebih besar daripada itu lagi. Mudah-mudahan diberkati oleh Allah dan saya ucap terima kasih diberi peluang untuk ikut serta berucap sepatah dua dalam majlis ini. Mudah-mudahan diberkati Allah. Siiru ‘ala barakatillah. Teruskan perjalanan mendapat berkat daripada Allah.

# Transkripsi Ucapan Majlis Perasmian “International Conference of Marawi” pada 19 Julai 2019, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, Terengganu.