Home Artikel PAS Perlis

Kecemerlangan PASTI Hasil Pengorbanan Para Guru

652 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

SHAH ALAM : PAS mengiktiraf peranan serta pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh para guru PASTI dalam membantu menjayakan matlamat institusi pendidikan berkenaan.

Demikian dijelaskan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Takiyuddin Haji Hassan ketika berucap merasmikan sidang kedua Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-11 di Hotel De Palma, dekat sini semalam.

Menurutnya, komitmen yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh golongan berkenaan membolehkan PASTI mengecapi pelbagai kejayaan serta meraih kepercayaan masyarakat pada hari ini.

Ujarnya lagi, perkara ini terbukti apabila PASTI telah berjaya melahirkan generasi pelajar yang memiliki akhlak serta jatidiri yang tinggi serta cemerlang dalam pencapaian akademik di peringkat rendah mahupun menengah.

“Kejayaan anak PASTI telah diakui ramai dengan kejayaan akademiknya malah telah terbukti dengan jatidiri yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh alumni PASTI, Khairul Idham Pawi, juara kejohanan MotoGP Dunia.

“Hasil didikan PASTI, beliau telah menunjukkan keperibadian mulia dengan menolak meraikan kejayaan secara menyembur arak dari botol arak,” jelasnya.

Sambil menyifatkan peranan mereka sebagai amat terpuji, beliau turut mengingatkan para guru akan tugas besar mereka dalam mencetak generasi akan datang yang memikul tugas sebagai jundullah serta amilin parti dalam menegakkan risalah Allah S.W.T.

Pada sidang kedua itu, seramai 241 orang graduan telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) manakala dua orang penerima telah dikurniakan anugerah khas kecemerlangan iaitu Nor Raihan Borhan dari Negeri Sembilan yang menerima Anugerah Presiden dan Irhamni binti Mohamed (Kelantan) yang terpilih menerima Anugerah Ketua Pengarah.