“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher dengan tudung kepala mereka…………..” [Q:S. An-Nur : 31]
Ayat ini menjelaskan peringatan Allah S.W.T kepada wanita agar menjaga kehormatan, memelihara perhiasan tubuh, serta menutup belahan leher dengan tudung kepala.
Jika diteliti di awal ayat, Allah S.W.T menyebut “perempuan-perempuan beriman”, hal ini menunjukkan betapa arahan ini dituju khas buat wanita yang beriman.
Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud;
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Bermakna manusia ini terutama bagi lelaki dan wanita yang beriman pasti akan diuji, dan ini merupakan antara ujian Allah S.W.T buat wanita yang beriman sejauhmana mereka boleh mentaati perintah Allah S.W.T untuk memelihara aurat mereka.
Secara zahir, kita melihat dengan menutup kepala (memakai tudung) merupakan sesuatu yang menyusahkan, apa tah lagi jika bertudung labuh, terasa panas, rimas, kolot, dan segala macam perasaan negatif akan timbul.
Di sisi lain, kita melihat orang yang menampakkan perhiasan tubuh mereka (memakai pakaian yang mencolok mata dan tidak menutup aurat), kelihatan cantik dan up to date.
Namun, di sebalik ujian ini pastinya Allah S.W.T titipkan hikmah buat hamba-Nya yang taat melaksanakan perintah Allah biarpun mungkin mereka dikecam, diejek dan dihina kerana berpegang teguh dengan ajaran agama.
Islam mengajar kita supaya menutup jalan yang boleh membawa kepada kerosakan, antaranya seperti keinginan berdua-duaan, berhias berlebih-lebihan, seterusnya mengundang kepada perkara yang boleh mengundang fitnah.
Dari sudut lain, golongan yang memelihara aurat mereka sudah pasti akan menjaga akhlak dalam pelbagai aspek; mereka lebih cenderung untuk melakukan kebaikan dengan mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang.
Kita melihat generasi hari ini berhadapan dengan situasi yang sangat getir kerana sudah terlalu banyak pengaruh-pengaruh negatif yang masuk seawal usia mereka. Dengan melaksanakan tuntutan dan syariat Allah S.W.T ini, mudah-mudahan mereka terjaga daripada terjebak dengan masalah sosial yang melanda sebagaimana pepatah ada menyebut,
“Mencegah adalah lebih baik daripada merawat”
Justeru kepada kaum Hawa, perempuan, wanita di luar sana, peliharalah aurat dan maruah mu sebaiknya, kerana ia merupakan ujian daripada Allah S.W.T untuk kamu sebagaimana kamu terasa ingin berhias dan kelihatan cantik, tetapi syariat telah membataskan dengan aturan yang baik dan penuh hikmah.
Sebagai seorang yang beriman dan percaya pada Allah S.W.T dan rasul-Nya, seharusnya kita perlu mencari dan menggali 1001 hikmah terhadap apa jua perkara yang telah diaturkan.
Dikeluarkan oleh,
Sekretariat
Dewan Muslimat PAS Malaysia