Assabiqun Lengkapkan Impak PAS
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
GOMBAK: Penubuhan Assabiqun PAS Pusat melengkapkan pakej kepelbagaian PAS yang merangkumi segenap lapisan masyarakat dengan pendekatan semasa.
Antara golongan yang menyertai Assabiqun adalah di kalangan ahli PAS berusia 55 tahun ke atas dengan cara mengisi borang Keahlian Assabiqun, boleh diperolehi dari Setiausaha PAS Negeri dan Kawasan.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata demikian ketika menyempurnakan pelacaran Assabiqun PAS sempena Konvensyen Sekretariat PAS Kebangsaan kali ke 3 di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, 18 November.
Katanya, PAS mempunyai pelbagai sayap yang masing-masing berperanan membawa mesej Islam dengan pendekatan seiring tuntutan parti bagi memastikan PAS menjadi pilihan rakyat.
“Kita mempunyai sokongan bukan Islam yang diselia dibawah Dewan Himpunan Penyokong PAS bahkan baru -baru ini ada dalam kalangan mereka telah menyempurnakan pengajian di Ilnsitut Latihan Kepimpinan dan Pengkaderan Dakwah Islamiyyah minggu lalu.
“Penubuhan Assabiqun PAS adalah satu usaha menggabungkan tenaga orang lama serta berpengalaman membantu parti untuk meneruskan perjuangan Islam di tanah air,” jelasnya.
Pelancaran Assabiqun disaksikan oleh Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif bersama semua peserta konvensyen serta diakhiri dengan sesi bergambar.