Home Berita PAS Wilayah

Arahan Melakukan Solat Jamak Taqdim Bagi Yang Terlibat Dengan Proses Pengiraan Undi (Counting Agent)

1966
SHARE

Adalah perlu melakukan jamak semasa PRU kepada mereka yang perlu sahaja iaitu petugas Agen Mengira Undi (Counting Agent) sahaja.

Adapun bagi :

(1) Agen tempat mengundi (Polling Agent) mereka ada masa yang panjang untuk bertukar ganti dengan rakan lain untuk melakukan solat.

(2) Petugas Suruhanjaya Pilihanraya juga tiada sebab untuk menjamak solat kerana mereka mempunyai jadual aturan kerja yang membolehkan solat.

(3) Perayu Undi di luar pusat mengundi juga langsung tiada alasan untuk menjamakkan solat kerana mereka boleh berhenti merayu undi untuk bersolat.

Maka keringanan diberikan kepada Agen Mengira Undi (Counting Agent) sahaja kerana :

(1) Kebiasaannya mereka akan mula masuk ke dalam tempat pembuangan undi yang juga tempat yang akan dilakukan pengiraan undi pada pukul 4.30 petang. Jika waktu Asar awal, tiada masalah.
Jika tiada sebarang permasalahan, kebiasaan proses pengiraan undi akan tamat sekitar jam 6.30 petang. Namun bagi tempat yang ramai bilangan pengundinya, juga terdapat banyak isu-isu kesamaran yang perlu dibincangkan oleh wakil-wakil calon (Counting Agent), maka kebiasaan proses mengira undi akan melangkau sehingga masuk waktu Maghrib. Ini tidak termasuk lagi dengan proses penyelesaian borang 14 dan prosedur lain dalam proses pengiraan undi.

(2) Kedudukan dan kewujudan mereka adalah penting di sepanjang proses pengiraan undi dilakukan di tempat mengira undi dilakukan. Sekiranya mereka tiada, berbagai fitnah akan berlaku, antaranya :

1- Penipuan akan/mungkin berlaku.
2- Timbul syak wasangka.
3- Memastikan ketelusan perjalanan PRU.

(3) Mereka yang terlibat menjadi Counting Agent, maka disarankan untuk melaksanakan solat jamak taqdim (tanpa qasar) ; iaitu solat Asar dilakukan awal pada waktu Zohor dengan niat :
(( أصلي فرض العصر أربع ركعات جمع التقديم لله تعالى))
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan Solat Fardhu Asar 4 rokaat Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

Oleh itu, mereka yang telah menjamakkan solat Asar ke dalam waktu Zohor akan berkelapangan untuk menjalankan tugas pengiraan undi.

APAKAH ASAS KEPADA PERLAKSANAAN SOLAT JAMAK TAQDIM INI?

Berdasarkan kepada Maqasid Syariah, iaitu untuk menjaga agama, diri, aqal, keturunan dan harta. Jadi dalam perkara melibatkan pengiraan undi ini, ia berkaitan dengan Hifzu Addin (menjaga agama) dan Hifzu Al-Mal (menjaga harta).
Hifzu Addin (Menjaga agama) adalah kerana supaya Solat tetap juga dapat dilaksanakan walaupun dalam proses pengundian, maka tidak diabaikan solat tersebut. Manakala Hifzu Al-Mal (Menjaga Harta) pula adalah kerana negara adalah harta yang besar. Maka bagi menjamin harta ini dapat ditadbir dengan baik, maka perlu kepada suatu proses yang begitu telus.
Oleh itu perlu untuk dipastikan adanya wakil calon pada ketika itu, maka dibolehkan mereka untuk mnjamakkan solat terlrbih dahulu.

Sekiranya tidak dilakukan jamak solat, banyak perkara boleh terjadi sekiranya ketiadaan wakil calon (Counting Agent) disebabkan mereka pergi menunaikan solat. Antaranya boleh berlaku penipuan dan prasangka.

Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada Hadis Nabi s.a.w yang mengharuskan jamak solat pada waktu hujan. Hujan adalah melibatkan permasalahan peribadi, maka Rasulullah s.a.w benarkan untuk melakukan solak jamak. Manakala pengundian ini melibatkan permasalahan negara, yang lebih besar daripada permasalahan peribadi (waktu hujan).
Oleh yang demikian, dengan qiyas tersebut, sudah pasti dibenarkan perlaksanaan solat Jamak Taqdim tersebut.

USTAZ AZHAR BIN YAHYA
TPJ 1 WP, YDP PAS Batu Merangkap Calon P115 Parlimen Batu.

*Mohon sebarkan untuk seluruh petugas PAS diseluruh Malaysia.