Home Berita PAS Wilayah

Surat Terbuka Kepada Pengundi P115 Batu

564
SHARE

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Para pengundi yang saya hormati,

Pilihanraya pada hari ESOK, 9 Mei 2018, adalah satu-satunya platform demokrasi yang tersedia bagi membentuk kerajaan baru buat rakyat dan negara ini.

Ia sangat penting. Tidak patut sama sekali jika ada dalam kalangan kita yang tidak menyertainya atau sengaja merosakkannya.

Kerajaan yang dibentuk, dasar dan polisi yang dilaksanakan selepas tarikh hari esok semuanya adalah hasil pilihan kita sendiri.

Jika baik, beruntunglah kita. Jika buruk, nasiblah kita dan kita sendirilah yang mesti menanggungnya tanpa perlu menyalahkan pihak lain.

Para pengundi yang dihormati,

Umumnya Barisan Nasional (BN) telah memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun. Tanpa menafikan pembangunan yang telah diusahakan untuk rakyat dan negara ini, namun pemimpinnya terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa; dasar yang dilaksanakan, seperti GST pula sangat membebankan kehidupan rakyat.

Bagi P115 Batu, kita hanya ada dua (2) pilihan; sama ada memilih untuk mengukuhkan kedudukan BN bersama dasarnya yang membebankan kita semua ATAU memilih untuk berubah bersama Gagasan Sejahtera dengan memberikan peluang dan kepercayaan kepada PAS.

Pengundi-pengundi sekalian,

Suka untuk saya ingatkan bahawa sehebat mana pun tawaran yang dikemukakan, kita harus sedari bahawa ia sememangnya merupakan kewajipan kerajaan.

Perkara yang lebih mustahak daripada tawaran-tawaran hebat itu ialah berkenaan proses penyampaiannya (delivery process) kepada golongan sasaran.

Tanpa individu yang mempunyai integriti dan kompetensi, masyarakat hanya dapat merasai saki baki peruntukan yang disediakan untuk melaksanakan tawaran itu sahaja; bukan sepenuhnya.

Para pengundi yang saya hormati,

Alhamdulillah, PAS telah dianugerahkan oleh Allah dengan ahli dan pemimpin yang menterjemahkan prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat; sehingga diiktiraf oleh pelbagai agensi luar yang berautoriti dan inilah kunci utama PAS selayaknya menjadi pilihan buat semua rakyat Malaysia.

Justeru, demi membina Malaysia yang Sejahtera, saya menyeru dan merayu kepada semua pengundi, undilah dengan bijaksana; pilihlah pemimpin yang tegas berprinsip; berbudi bahasa; bebas rasuah dan salah guna kuasa; serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Sekian.

“Kita Sejahtera Bersama”

AZHAR BIN YAHYA
Calon PAS P115 Batu