Home Artikel PAS Pusat

Apa ada dengan PAS?

44 views
SHARE

Apa ada dengan PAS?

Bahagian 1


Bismillah

Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya bersama-sama dengan pengalaman saya dan juga hasil perhubungan saya dengan individu atau program-program PAS. Dengan semua gabungan ini, maka saya mengeluarkan tulisan ini. Tulisan ini, tiada saya rasmikan ianya sebagai tulisan bagi pihak PAS. Akan tetapi jika PAS atau pembaca merasakan ianya bermanafaat atau membawa kebaikan, maka itu terserah kepada budi bicara masing-masing jika mahu menyebarkannya.

Bagi tulisan ini, saya bahagikan kepada beberapa siri kerana terlalu banyak budi dan jasa PAS kepada masyarakat yang tidak cukup untuk dicoretkan di atas selembar kertas sahaja.

Saya tujukan tulisan ini kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang mungkin ada sebahagiannya tidak mendapat makluman yang jelas berkenaan kekuatan PAS yang telah sedia ada. Juga kepada pengundi atas pagar yang ingin tahu apakah tawaran PAS kepada mereka dan apa yang telah dilakukan oleh PAS dengan jentera yang ada.

Kepada pembenci PAS, anda mempunyai 1001 alasan untuk melihat segalanya sebagai buruk kepada PAS. Jadi tulisan ini sekadar menyatakan apa yang telah PAS lakukan. Bukan bagi tujuan perbalahan yang tak berkesudahan.

Apa yang ada dengan PAS mengikut kefahaman saya ada banyak. PAS adalah sebuah jemaah yang sangat dekat dengan masyarakat. Kewujudannya puluhan tahun lalu, adalah secara serius bagi mengisi kelompangan yang ada dalam masyarakat dengan menjadikan Islam sebagai teras. Boleh saya bahagikan kepada beberapa kategori iaitu antaranya seperti pendidikan.

1-Pendidikan:

Ilmu yang menekankan keagamaan adalah satu kemestian kepada PAS bagi melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah. Majoriti pimpinan PAS mempunyai sekolah masing-masing yang mungkin telah melahirkan ribuan pelajar di seluruh negara semenjak awal 80-an lagi. Mereka cukup memahami akan kepentingan pendidikan Islam inilah yang akan mengeluarkan manusia dari kejahilan agama.

Sebuah cerita yang menarik yang boleh saya kongsikan di sini berkaitan dengan persekolahan ialah berkenaan prinsip almarhum Ustaz Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia yang begitu sinonim dengan dunia pendidikan PAS. Saya mendengar beliau suatu ketika menceritakan dialog antara beliau dengan orang kuat sebuah NGO yang mengaku Islam. Wakil NGO itu secara ringkasnya menyalahkan PAS kerana baginya sistem pendidikan cara PAS itu tidak betul.

Yang wakil NGO itu maksudkan ialah PAS mengambil secara borong iaitu menerima kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah PAS secara beramai-ramai samada pelajar pintar atau tidak, baik dan juga nakal. Ini bagi beliau, ini akan menjejaskan prestasi pelajar-pelajar.

Tetapi pandangan jauh almarhum mendiamkan wakil NGO itu dengan menerangkan bahawa PAS bukan mencari kejayaan peperiksaan sahaja, tetapi lebih utama mengambil tanggungjawab membina insan untuk menjadi manusia berguna. Oleh itu sesiapa sahaja yang ingin masuk ke sekolah PAS, bermakna mereka ingin membaiki diri. Tidak kira mereka cerdik atau tidak, kaya atau miskin, tanggungajawab mendidik itu tetap wajib. Bagi PAS, Islam tertegak dengan iman, ilmu, amal dan akhlak, bukan pintar semata-mata.

Jawapan itu sangat tepat kerana hasilnya kini PAS mempunyai satu pasukan yang terdiri daripada orang kaya, miskin, cerdik, biasa, berpangkat, tidak berpangkat tetapi memahami Islam. Ini kerana PAS tidak memilih bulu dalam mendidik. Begitu juga dalam mendidik pelajar, guru-guru diarahkan beliau untuk mendidik dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Manakala NGO yang kelihatan elit yang mengkritik itu, masih terkapai-kapai mencari ‘grass root’ kerana kumpulan mereka dilihat seperti hanya dihadkan kepada golongan yang pandai-pandai sahaja.

Terbukti madrasah PAS ini menjadi tarikan dengan adanya pelajar-pelajar bukan Islam di Pasti dan tidak kurang jumlah anak-anak orang Umno juga selain menyertai Pasti, ada juga yang bersekolah rendah dan menengah di madrasah-madrasah PAS.

Berapa ramai guru-guru agama yang sekarang ini bertebaran di serata pelusuk Malaysia datang dari madrasah-madrasah kelolaan PAS? Merekalah yang akan menjadikan agama sebagai tonggak pendidikan. Mereka ini juga yang sentiasa mengadakan kuliah-kuliah agama di surau-surau atau masjid-masjid di seluruh negara.

Ditambah dengan keadaan sekarang, permintaan terhadap sekolah agama kerajaan begitu tinggi, sehingga kerajaan sendiri tidak mampu menampung keperluan itu. Maka PAS tampil sebagai penyelamat masyarakat yang inginkan pendidikan agama. Malah tidak sedikit bilangan ramai pelajar-pelajarnya mendapat keputusan cemerlang berbanding sekolah agama kerajaan.

Dengan yuran yang teramat murah, terkadang juga atas faktor kemiskinan, yuranpun tidak dibayar, guru-gurunya berkorban dengan hanya mendapat gaji yang kecil, namun, ianya tidaklah mematahkan semangat bagi guru-guru ini terus mengajar, tanpa memikirkan kekurangan itu. Sedangkan mereka boleh mencari kekayaan di luar sana. Inilah sistem pendidikan yang PAS ada.

Bersambung….

 

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
1 Jan 2017

Foto: Pasti Malaysia 
http://www.pastimalaysia.com/index.php?action=berita&id=338

{jathumbnail off}