Home Berita PAS Melaka

Anugerah Ikon Muslimat DMPNM hargai Muslimat Akifi

534
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

HANG TUAH JAYA, 17 Ogos : Sempena 51 tahun Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) di persada politik negara, muktamar tahunannya pada tahun ini yang berlangsung di sini semalam telah mengambil peluang menghargai beberapa orang pendokong di kalangan aktivis muslimat yang telah banyak berjasa selama ini.

Dr. Khatijah Jumangat, seorang pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Polymer Chemistry telah dipilih sebagai penerima Anugerah Profesional Istiqamah atas sumbangan aktif beliau dalam PAS semenjak bersara dari jawatan kerajaan pada tahun 1994 sehingga kini.

Bagi Anugerah Muslimat Istiqamah pula, Sophiah Ahmad telah dipilih sebagai penerima anugerah tersebut atas komitmen yang ditunjukkan tidak pernah luntur menjadi inspirasi buat para Muslimat.

Apa yang menyentuh hati, sehingga ke hari ini, Sophiah tetap berusaha hadir ke program-program parti walaupun terpaksa menaiki pengangkutan awam.

Bagi mengangkat peranan wanita sebagai ibu, DMPNM telah menobatkan Hajah Latifah Abdul Rahman, ibu kepada Tuan Guru Zulkifli Ismail sebagai penyandang ‘Anugerah Ibu Pejuang’.

Hajah Latifah membuktikan kesibukan menguruskan rumah tangga, gerak kerja hakiki tidak menghalang diri untuk aktif bersama jemaah.

Kesemua anugerah telah disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, Tuan  Guru Ustaz Zulkifli Ismail yang juga merupakan perasmi muktamar ini.

“Semoga ikon-ikon ini menjadi qudwah buat Muslimat PAS yang lain, untuk terus komited berjuang bersama PAS di Melaka.” kata kenyataan DMPNM atas penganugerahan ini.

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)