QATAR JUGA DITUNTUT BERMUHASABAH TERHADAP KRISIS DIHADAPINYA
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
MARANG: Qatar dituntut bermuhasabah mendepani tindakan Arab Saudi, UAE dan beberapa negara ke atasnya, ekoran sikap Qatar sendiri yang terlalu terbuka dalam dasar luarnya, terutama dengan Amerika Syarikat dan pernah menjalinkan hubungan dengan Israel satu ketika dahulu.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sejarah tidak pernah melupakan peranan Qatar membantu tentera Amerika Syarikat menyerang Afghanistan, Iraq dan negara-negara umat Islam lain di mana Qatar menjadi pangkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.
“Hari ini Amerika sendiri tak sokong Qatar. Ini memberi satu pengajaran kepada umat Islam bahawa kita tidak boleh memberikan wala’ kepada orang-orang kafir. Ini amaran daripada Allah.
“Wahai orang-orang beriman, jangan sekali-kali kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai penolong-penolong kamu,” ujarnya memetik ayat 51 sural al-Ma‘idah pada Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini 16 Jun lalu.
Dulu menurutnya, Qatar menyokong dan membantu Amerika, tetapi hari ini Amerika sendiri pun tidak menyokongnya dalam menghadapi krisis tersebut.
Pun begitu ujar beliau, disebalik kesilapan Qatar, tindakan kezaliman ke atasnya tetap perlu dibela di mana sepatutnya negara-negara umat Islam bersatu menentang musuh yang sama iaitu negara haram Israel.
Malangnya kesali Ustaz Khalil, mereka tidak bersatu, bahkan berbalah sesama sendiri dan dengan wang yang banyak melimpah ruah tidak digunakan untuk kepentingan umat Islam, sebaliknya dibelanjakan dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan merugikan ummah.
Perkara itu baginya, menjadi pengajaran kepada umat Islam di zaman ini bahawa hanya dengan Islam dan meyakini janji Allah sahaja dapat menjadikan mereka ummah yang disegani.
“Musuh-musuh Islam berpakat antara satu sama lain untuk memastikan Islam tidak bangkit semula. Kerana itulah kita lihat apa yang berlaku di dunia Islam, bagaimana perancangan-perancangan jahat mereka mencarik-robekkan negara-negara umat Islam.
“Mereka reka macam-macam peperangan nak suruh orang Islam balah sesama sendiri. Malangnya kita melihat, pemerintah di negara-negara umat Islam, mereka tak yakin dengan Islam yang benar ini, mereka tak yakin dengan janji Allah S.W.T.
“Jika sekiranya orang-orang beriman berjuang untuk menegakkan agama Allah, Allah Taala janjikan dengan kemenangan. Tetapi kerana sayang kepada harta-benda, kepada kedudukan, kepada kerusi, penyakit ‘Wahn’ dicampakkan Allah ke dalam hati mereka hingga musuh-musuh mereka tidak merasa gerun,” ujarnya.
Ustaz Khalil menyingkap perbandingan iktibar itu dengan peristiwa Perang Tabuk dipimpin Rasulullah yang meyakini janji Allah hingga mencapai kemenangan moral ke atas tentera Rom dan sekutunya ketika mengupas kitab Riyadhus Shalihin dalam kuliahnya itu.