Home Berita PAS Sabah

Ameerah, Nusaibah tarik minat pengundi muda mengundi

91
SHARE

Oleh : Faizah Arbain
9 Ogos 2022

KOTA KINABALU : Muslimat Muda melalui Ameerah dan Nusaibah perlu menarik minat anak muda serta memberi kefahaman pentingnya mengundi untuk menentukan kepimpinan negara.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Sandakan, Ummu Syifa Tasman berkata, Muslimat Muda perlu merebut peluang mendekati pengundi muda bagi mendedahkan mereka tentang politik Islam.

“Pendekatan Muslimat Muda melalui 3 aspek penting iaitu melalui literasi politik, pemerkasaan Muslimat Muda dan media mesra anak muda.

“Pemerkasaan Muslimat Muda harus digilap dan dilatih dengan menggalas tugas penting dalam jemaah, sehingga mampu untuk menjadi calon agar mereka dapat mengutarakan idea segar bagi mewakili golongan mereka,” ujarnya semasa sesi penangguhan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke 32, di sini Sabtu lepas.

Sementara itu perwakilan Kinabatangan, Siti NorAslinda Mohamad berkata, Undi 18 penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan negara maka tiga elemen penting perlu dijadikan pendekatan oleh Muslimat Muda terhadap pengundi muda.

“Muslimat Muda perlu menghidupkan dan mengaktifkan semua entiti PAS dan digunakan sebaiknya untuk mendekati anak muda.

“Muslimat Muda juga perlu mengenalpasti pengundi muda di kalangan belia dan memperbanyakkan aktiviti yang menarik minat anak muda namun tetap berteraskan syariat,” ujarnya lagi.

Seterusnya, perwakilan Batu Sapi, Lisa Suriani berkata, muslimat perlu bersedia sekiranya dipilih menggalas tugas sebagai calon.

“Untuk itu, muslimat perlu menyiapkan diri menjadi ikon untuk mendidik anak muda dan memenuhi keperluan segenap masyarakat dengan berjiwa besar dan merasai denyut nadi rakyat”.

“Muslimat Muda juga perlu kreatif dalam menjalankan dakwah dan siasah sebagai persediaan mendepani pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya di akhir penggulungan.

Menurut perwakilan Lahad Datu, Ana Siti Sarpina Saripuddin pula, muslimat harus memandang urusan kepimpinan adalah sebagai satu ruang untuk melaksanakan gerak kerja dakwah, islah dan ihsan.

“Pentingnya muslimat mengambil tahu hal kepimpinan dan politik, supaya muslimat dapat menjaga agama dari gerakan wanita sekular dan liberal yang pandai menyesatkan kefahaman Islam sebenar.

“Muslimat harus berdaya saing dan memanfaatkan kepimpinan PAS dalam kerajaan untuk memastikan agenda Islam mesti diketengahkan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Ucapan penggulungan perwakilan Dewan Muslimat kawasan itu diadakan sempena Muktamar Tahunan DMPNS di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.