Oleh : Atiqah Ahmad
KOTA MELAKA, 25 Ogos : Ameerah Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka telah meneruskan program Ameerah Care siri ke-2 dengan menyantuni pengundi berumur 40 tahun ke bawah di DUN Duyong di sini kelmarin.
Program kali ini yang melibatkan Jabatan Pilihanraya Unit Daerah Mengundi (JPrUDM) Semabok dan Padang Semabok telah disertai oleh 10 orang petugas dan telah berjaya menziarahi sebanyak 10 buah rumah seperti yang disusun oleh kedua-dua JPrUDM.
Aktiviti ziarah yang bermula seawal 10.00 pagi ini turut disertai oleh Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Rohani Hasan.
Menurut Rohani, program ziarah ini berjaya menyantuni pengundi yang terdiri daripada pelajar IPT, mereka yang kurang bernasib baik di kalangan wanita muda dan ibu tunggal.
“Ada juga di antara mereka yang belum daftar mengundi. Jadi, menjadi tanggungjawab buat kami memastikan mereka ini mendaftar.” Ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).