Home Berita PAS Perak

Ameerah DUN Manjoi dekati golongan muda

76
SHARE

Oleh: Danisya Ismail

TAMBUN: Dalam situasi pandemik Covid-19 ini masyarakat bukan sahaja berhadapan dengan kekangan wang ringgit, malah turut memerlukan sokongan mental.

Hal demikian dapat dilihat daripada hasil dapatan Ziarah Ameerah Care anjuran Ameerah DUN Manjoi di Taman Meru, Ipoh, baru-baru ini.

Pengarah program sumbangan Kit Ameerah Care Ibu & Anak, Aisyah Husna Ameer ketika ditemui Harakahdaily berkata, pihaknya kini sedang berusaha menyantuni wanita muda yang dijadualkan berlangsung setiap minggu.

“Dalam program ini, kami sampaikan sumbangan pampers dan susu kepada ibu muda yang memerlukan. Ada di antaranya yang kehilangan mata pencarian dan juga memiliki anak istimewa.

“Kami tidak ziarah ibu muda yang tergolong di kalangan asnaf sahaja. Ada juga yang kami ziarahi itu dilihat memerlukan sokongan mental untuk membesarkan anak-anak yang diuji dengan ujian kesihatan,” ulasnya.

Katanya lagi, selain fokus menyantuni golongan ibu muda, Ameerah DUN Manjoi berhasrat bergerak selari dengan PAS DUN Manjoi dalam usaha memelihara kebajikan masyarakat.

Ini kerana terangnya, jika setiap entiti dalam PAS digerakkan dengan komited sesuai dengan peranan masing-masing, sudah tentu PAS berjaya menjuarai isu-isu masyarakat dan disenangi semua pihak.

Hadir sama dalam program serahan sumbangan itu, Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri memberi sokongan atas usaha yang dijalankan Ameerah DUN Manjoi.

“Alhamdulillah, ini merupakan sebuah prorgam yang sangat bagus untuk mendekati golongan muda. Ameerah selaku Muslimat Muda PAS harus terus komited menjalankan program kebajikan sebegini,” katanya.

Program sumbangan Kit Bantuan Ibu & Anak ini telah berlangsung untuk kali ke tiga dan ia dijalankan dengan hasil infak dan kutipan sumbangan orang ramai.

Sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi menjayakan prorgam ini di mana sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (Noor Azlin Elina) 08013023732556 atau hubungi 013-4630075 jika ada sebarang pertanyaan.