Home Berita PAS Perak

#Lawan : Jangan peralat anak muda dengan aktiviti memudaratkan

45
SHARE

Oleh: Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG: Tindakan sesetengah pihak memperalatkan golongan belia dengan penganjuran Himpunan Keluar dan #Lawan di saat Covid-19 sedang menular waktu ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Lebih mengecewakan apabila peserta perhimpunan gagal mematuhi penjarakkan fizikal yang boleh membawa kepada kesan yang buruk kepada kesihatan mereka sendiri.

Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, keinginan untuk menyatakan pendapat dan pendirian bukanlah suatu halangan dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun ia perlulah mengikut saluran yang betul, lebih-lebih lagi dalam situasi pendamik Covid-19 yang mencecah 18,000 kes harian saat ini.

“Sidang khas Parlimen adalah platform terbaik untuk semua ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara menyatakan pendirian, kritikan dan suara hati rakyat. Sayangnya, majoriti ahli-ahli Parlimen khususnya daripada pembangkang mensia-siakan peluang itu dengan menjadikan Dewan Rakyat sebagai gelanggang melepaskan geram, memaki hamun pihak lawan dan tidak mengutarakan cadangan-cadangan yang membina.

“Adakah pemimpin-pemimpin mereka gagal menyampaikan hasrat dan luahan anak-anak muda di Parlimen sehingga terpaksa pula menunjuk perasaan di jalanan? Ruang dan peluang telah disediakan namun ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak memanfaatkannya”, ujarnya.

Dalam satu kenyataan media pada 31 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan di sekitar ibukota yang berlangsung secara aman,namun ia jelas melanggar peraturan.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan”, katanya.