Home Berita PAS Perak

Ambang Merdeka Di Arena Bukit Gantang meriah

233
SHARE

Oleh : Ez

BUKIT GANTANG , 30 Ogos : Cuaca baik pada sebelah malam menyaksikan lebih 1000 orang hadir bagi memeriahkan Program Ambang  Merdeka di Arena Futsal Bukit Gantang  di sini, pada 30 Ogos yang lalu.

Program berbentuk kerohanian yang diadakan bersempena dengan Ambang Merdeka 2022 itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Perak bersama Skuad Sukarelawan YADIM Bukit Gantang.

Ia diisi dengan pelbagai acara keilmuan, antaranya Sembang Santai Kemerdekaan yang menampilkan Tuan Haji Hussin Ismail dari Yayasan Amal Malaysia dan Doktor Mastura Muhammad dari Ameerah Malaysia.

Forum yang menyentuh aspek kepentingan politik dalam masyarakat itu dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Fitri Abdullah.

Terdahulu jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta mendengar alunan Qasidah  oleh Kumpulan Shoutul Qiam sebelum diteruskan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Shoutul Wildan.

Kehadiran masyarakat setempat yang memenuhi segenap ruang Arena Futsal di sini membuktikan semangat patriotisme dan cintakan negara masih utuh di kalangan rakyat.

Hadirin teruja menyaksikan persembahan seni silat daripada pelajar-pelajar SABK Maahad Tarbiah Islamiah Batu 8 disamping berdebar menunggu keputusan cabutan bertuah.

Program diakhiri dengan orang ramai menanti detik 12 malam sambil melaungkan laungan merdeka serta nyanyian lagu Negaraku dan nasyid Asma Ul-Husna.

Majlis ditutup dengan bacaan doa kesejahteraan negara oleh Ahli Majlis Perbandaran Taiping, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Turut hadir menyaksikan program berkenaan ialah Penyelaras YADIM Perak Mohd Zahid Abu Bakar, Ahli Majlis Perbandaran Taiping merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail dan Penghulu Mukim Bukit Gantang, Haji Mustafa Kamal Zahari.