Home Berita PAS Sabah

Pemuda PAS Sabah sokong usul tergempar kukuhkan muafakat politik dan tolak kerjasama PH

108
SHARE

Oleh: Basith Samad
2 September 2022

ALOR SETAR: Pemuda PAS Sabah hari ini menyokong penuh usul tergempar Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk mengukuhkan muafakat politik dalam kalangan parti tidak ekstrem dan menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Ketua Penerangannya Mustaman Mustain berkata realiti politik hari ini di Sabah menyaksikan, PAS Sabah tidak bermasalah bekerjasama dalam kerajaan negeri dengan parti lain yang terdiri daripada GRS dan BN.

“ADUN tunggal PAS, Dr Aliakbar Gulasan boleh bekerja baik dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan parti dalam kerajaan yang lain termasuk UMNO, STAR, SAPP, PBS, MCA dan PBRS yang menunjukkan kerukunan dalam kerajaan hari ini,” ujar beliau ketika menyampaikan perbahasan usul tersebut.

“Malah, lantikan politik ahli PAS dalam kerajaan termasuk PBT masih kekal dan tidak ada sebarang ganguan yang juga menunjukkan muafakat dalam kalangan parti-parti terbabit,” tambahnya dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke 63.

Disamping itu, beliau turut mengulas berkenaan rakyat Malaysia yang sudah mengetahui tentang kerosakkan dibawa PH dan serik terhadap pemerintahan selama 22 bulan mereka.

Menurutnya, perkara ini dapat dilihat daripada keputusan sepanjang siri-siri PRK dan PRN yang menunjukkan PH ditolak oleh rakyat.

“PRN Sabah yang lalu mencatatkan PH termasuk UPKO hanya menang 7 kerusi daripada 27 kerusi yang ditandingi menunjukkan PH telah ditolak oleh rakyat,” jelasnya.

“Awal tahun ini pula kita menyaksikan pimpinan DAP, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin, ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan bekas senator, Adrian Lasimbang telah keluar parti menandakan mereka hilang kepercayaan kepada parti sendiri,” tambahnya.

Malah, bulan Jun baru-baru ini seramai 115 bekas anggota DAP dari Kampung Mangkalinau, Sandakan telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PAS membuktikan PH khususnya DAP ditolak oleh rakyat Sabah,” hujahnya lagi.

Semua justifikasi ini menurut Mustaman telah membuktikan bahawa usul tergempar ini perlu disokong sebulat suara oleh sidang perwakilan muktamar.

Usul tergempar berkenaan kemudiannya dibahas oleh Perwakilan Kedah dan Selangor yang turut menyokong usul berkenaan. Ia kemudiannya mendapat sokongan sebulat suara oleh sidang muktamar.