Home Berita PAS Sabah

MAIS serlahkan prestasi dan perkembangan murid

82
SHARE

Oleh : Ahmad bin Li
3 September 2022

BEAUFORT : Memberikan pendidikan awal berteraskan kefahaman agama Islam merupakan antara kaedah terbaik dalam membentuk keperibadian yang mulia dalam kalangan kanak-kanak.

Usaha tersebut giat dilaksanakan di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Ayubi Beaufort melalui pelbagai program, tidak hanya pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sahaja.

Antara yang dilakukan ialah pelaksanaan program Mahrajan Amal Islami SRITI (MAIS) 2022 yang telah diadakan baru-baru ini.

Pelbagai acara yang telah dipertandingkan dalam MAIS 2022 SRITI Al-Ayubi, antaranya ialah pertandingan tilawah al-quran, hafazan, nasyid, laungan azan, pidato dan bercerita.

Pertandingan ini sekaligus adalah untuk memilih peserta yang layak untuk mewakili SRITI Al-Ayubi ke MAIS peringkat negeri Sabah.

Majlis perasmian penutup MAIS 2022 peringkat SRITI Al-Ayubi Beaufort telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Beaufort, Asrul Samat.

Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS akan sentiasa memberikan komitmen yang terbaik terhadap pelaksanaan bidang pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam.

Menurutnya, ini adalah sebagai salah satu inisiatif dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

“Dengan kompetensi guru-guru SRITI serta bimbingan daripada Unit Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang baik mampu memberi impak yang terbaik.

“saya yakin dengan kerjasama ini, kemenjadian murid dalam aspek akademik dan sahsiah akan terus berkembang dengan positif,”