Home Berita PAS Melaka

Almarhum Ustaz Hafiz cenderung perjuang PAS- Datuk Ustaz Kamarudin

71
SHARE

Oleh IBNU JANIE

JASIN, 14 Mei: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Jasin, Almarhum Ustaz Mohammad Hafiz Jasman disifatkan sebagai seorang yang cenderung untuk aktif dalam PAS selepas menamatkan pengajian di Universiti Al Azhar.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, beliau malah melihat bahawa almarhum adalah seorang yang mempunyai masa depan dalam bidang ini.

“Mungkin dia mengikuti jejak langkah saya sedikit (dalam politik). Walau pun beliau ada kelulusan yang melayakkan beliau untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan, tapi saya tengok (almarhum) lebih cenderung kepada parti politik.

“Maka dengan sebab itu beliau sanggup berkhidmat dengan Ma’ahad Ar Rahmah, di samping saya difahamkan pada sebelah malam beliau mempunyai kelas-kelas pengajian di markas-markas PAS, balai-balai Islam dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerana itu almarhum diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan dalam Dewan Pemuda PAS, Dewan Ulamak, ARC dan banyak lagi.

“Sepanjang beliau belajar di Maahad Ar Rahmah ini saya boleh katakan beliau seorang pelajar yang tidak ada masalah dengan sekolah dari segi disiplin. Sebab itu tak hairanlah beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar,” ujar beliau.

Ustaz Kamarudin berkata demikian kepada WARM-Berita PAS Melaka ketika hadir menziarahi waris almarhum di Kampung Chenderah, di sini, kelmarin.

Tambah beliau lagi, hampir semua adik beradik almarhum belajar di Maahad Ar Rahmah di atas usaha dan komitmen ibu bapa almarhum.

“PAS Kawasan Jasin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Mudah-mudahan Allah SWT rahmati roh beliau dan diampuni segala kesilapan beliau.

“Insya-Allah PAS Kawasan Jasin akan cuba mengambil inisiatif untuk membantu memberi sedikit bantuan dan sumbangan selepas ini apa yang termampu. Sama-sama kita doakan roh beliau dan buat balu dan anak beliau,” ujarnya lagi.

Ustaz Kamarudin dalam ziarah ini turut menyampaikan sumbangan daripada PAS Kawasan Jasin buat balu almarhum, Ustazah Nor Erma Sari Aini, 31, sementara isterinya Datin Ustazah Safina Hashim pula menyampaikan sumbangan daripada Maahad Ar Rahmah.