Home Berita PAS Pusat

Alam Melayu Dan Hubungan Dengan Kekhalifahan Islam

3129
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 10

Gambar sekadar hiasan. Foto: thepatriots.asia

ALAM MELAYU DAN HUBUNGAN DENGAN KEKHALIFAHAN ISLAM

KHALIFAH adalah ketua bagi orang beriman atau disebut amirul mukminin yang menggantikan tugas-tugas kenabian dalam memimpin umat untuk menegakkan hukum agama dan mentadbir urusan dunia dengan Islam. Dalam sejarah Islam, selepas kewafatan Nabi SAW pada 632M, kepemimpinan umat digantikan oleh Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661M), Daulah Umayyah (661-750M), Daulah Abbasiyah (750-1517M) dan Daulah Othmaniyah (1517-1924M). Pada zaman Abbasiyah, muncul beberapa kerajaan yang penting termasuklah Daulah Saljuk (1037-1194M) dan Daulah Mamalik (1250-1517M) yang merupakan nadi Daulah Abbasiyah. Pada masa yang sama, muncul pula beberapa daulah yang mengisytiharkan mereka sebagai khalifah berasingan iaitu Daulah Fatimiyah (909-1171M), Daulah Umayyah Andalusia (929-1031M) dan Daulah Muwahidun (1143-1269M). Kebangkitan Daulah Islamiyah Melayuwiyah meliputi era Daulah Abasiyah di Baghdad (750-1258M) hinggalah munculnya Daulah Fatimiyah, Umayyah Andalus, Saljuk dan Mamalik, sebelum kebangkitan Daulah Othmaniyah pada 1299M.

Kemunculan awal daulah Islam di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya Kerajaan Perlak pada 840M, diikuti oleh Kerajaan Samudera-Pasai pada 1267M. Adapun peng-Islaman Tidore (1081M), Leran (1101M), Kedah (1136M), Jawaka (1253M), Ternate (1257M), Champa (1360M), Brunei (1363M) dan Sulu (1405M) adalah belum jelas pembentukan daulahnya, walaupun ada bukti perlaksanaan syariat di Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M). Sehingga memasuki abad ke-15M, boleh dikatakan daulah yang nyata hanya wujud di Aceh, sehinggalah bangkitnya Melaka sebagai kerajaan Islam pada 1414M. Melaka melanjutkan peranan Aceh sebagai daulah Islam sepanjang abad ke-15M. Mengikuti Melaka kemudiannya ialah Pattani (1457M), Demak (1478M), Aceh (1496) dan Johor-Riau (1528M). Sebagai daulah Islam, kerajaan-kerajaan ini mempunyai hubungan dengan khalifah yang berpusat di barat Asia dari masa ke masa, selain hubungan dengan wilayah Islam yang lain.

Pengaruh Khalifah Terhadap Daulah Islamiyah Melayuwiyah

Kedudukan Khalifah Islam di Madinah (632-655M), Kufah (655-661M) dan Damsyik (661-750M) telah menjadikan Islam sebagai kuasa politik yang baru, sedangkan di Alam Melayu muncul kerajaan Sriwijaya sebagai sebuah empayar kelautan. Pada zaman Sri Indrawarman, telah berlaku hubungan dengan khalifah Islam di Damsyik. Inilah hubungan terawal orang Melayu dengan khalifah Islam, sebelum utusan-utusan dakwah dihantar pada abad kesembilan Masehi dan berjaya mendirikan daulah di Perlak pada 840M. Pengaruh kekhalifahan Islam ke atas Alam Melayu dapat dilihat dengan jelas pada gelaran yang dipakai oleh pemerintah seperti di Kelantan pada 1181M bergelar “al-Mutawakkil ala Allah” iaitu menyamai sistem gelaran Daulah Abbasiyah Baghdad. Bahkan gelaran al-Mutawakkil telah digunakan oleh khalifah Abbasiyah di Baghdad, iaitu al-Mutawakkil (847-861M) serta khalifah Abbasiyah di Kaherah, al-Mutawakkil I (1362-1383M), al-Mutawakkil II (1479-1497M) dan al-Mutawakkil III (1506-1517M). Sedangkan gelaran al-Malik yang digunakan di Samudera-Pasai menyamai gelaran raja-raja Kerajaan Ayubiyah dan Mamalik di Mesir. Gelaran Maliku as-Salleh (1287-1297M) di Pasai menyamai Maliku as-Salleh (m. 1249M), sultan terakhir Ayubiyah, manakala Maliku az-Zahir I (1297-1326M) dan Maliku az-Zahir II (1330-1346M), mengikuti nama Maliku az-Zahir Baybras (m. 1278M), salah seorang sultan Mamalik yang terkenal di Mesir.

Satu aspek yang penting juga dalam pemakaian gelaran bagi sultan-sultan di Nusantara ialah memperlihatkan ciri-ciri daulat melalui gelaran “Zilalullah fil Ardh” (bayangan Allah di muka bumi), “Zilalullah fil Alam (bayangan Allah di alam buana), “Khalifatullah” (wakil Allah), “Tabdil ar-Rasul” (pengganti Rasul) dan “Khalifatul Mukminin.” Gelaran-gelaran memperlihatkan pengaruh kekhalifahan Islam, selain gelaran al-Malik dan as-Sultan. Pada zaman Melaka, Sultan Mahmud Shah (1488-1511M) menggunakan gelaran Khalifah al-Mukminin, sedangkan di Pahang, Sultan Abdul Ghafur (1592-1614M) bergelar khalifah. Dalam Kesultanan Sulu, Sultan Azimuddin I (1735-1748M) bergelar Amirul Mukminin, sedangkan Sultan Abdul Rahman (1659-1706M) bergelar Khalifah al-Mukminin. Di Ternate, sultannya pernah bergelar Khalifah ar-Rasyid, manakala Sultan Pattani yang pertama, Sultan lsmail Shah bergelar Zilalullah fil Alam. Gelaran Khalifatullah pula digunakan oleh raja-raja Jogjakarta sejak Amangkurat IV (1719-1724M), sedangkan Kesultanan Ternate menggunakan gelaran Tabdil ar-Rasul.

Peranan Khalifah Dalam Pembentukan Daulah Islamiyah Melayuwiyah

Hubungan dan pengaruh kekhalifahan Islam ke atas Alam Melayu telah mewujudkan beberapa peranan dalam pembentukan daulah Islam. Antara peranan besar ialah gerakan dakwah, bermula dari pengiriman pendakwah-pendakwah dari Mekah, Jeddah, Yaman, Parsi dan India untuk menyebarkan Islam hinggalah terbentuknya Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M. Sokongan kerajaan-kerajaan Islam dari barat Asia ke atas program-program pendidikan Islam termasuk penubuhan dayah di Aceh, pasentren di Jawa dan pondok di Pattani telah membolehkan Islam berkembang dengan pesat. Tidak dinafikan juga, kekuatan ini adalah kesan hubungan diplomatik antara kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu dengan empayar-empayar dan khalifah Islam. Kedatangan raja-raja Melayu ke Mekah untuk mengerjakan haji, melawat kerajaan-kerajaan Islam dan “menerima daulat” sangat membantu proses pembinaan ini, di samping lawatan pembesar seperti kunjungan Hang Tuah ke Kesultanan Delhi di India dan Sultan Rom (Othmaniyah) di Turki. Beberapa sultan seperti Sultan Abdul Kahar (1651-1682M) dari Banten, Sultan Abdul Malik Said (1639-1653M) dari Gowa dan Sultan Agung dari Mataram (1613-1646M) telah mendapat gelaran sultan daripada penguasa Mekah.

Selain pengukuhan dalam bentuk daulat, khalifah juga terlibat secara langsung dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Hal yang paling jelas adalah pengiriman senjata dan armada laut ke Melaka dan Aceh dalam menghadapi penjajahah barat. Maka dalam konteks inilah, apabila kita meneliti perkembangan Islam di Nusantara, pengiktirafan orang Melayu terhadap para khalifah telah berlaku sama ada yang berpusat di Mekah (Syarif Mekah – wakil khalifah) atau Kaherah (zaman Fatimiyah, Ayubiyah dan Mamalik) dan juga Istanbul (era Othmaniyah). Sultan Rom (atau Ruhum) adalah raja terbesar dalam ungkapan pemikiran Melayu, sehingga keturunan raja-raja yang dicatat dalam hikayat dan kronik Melayu mengaitkan raja-raja dengan Iskandar Zulkarnain dan Sultan Rom. Inilah pemikiran baru dalam membawahkan kepercayaan lama bahawa Raja Cham di Indo-China dan Raja Kertagama di Jawa berasal dari keturunan dewa Siva, manakala Raja Airlangga di Jawa berketurunan dewa Visnu.

Aceh: Duta Khalifah di Alam Melayu

Aceh adalah wilayah Nusantara yang terawal menerima Islam dan berdirinya daulah. Bermula dengan Perlak pada 840M, kemudian muncul kerajaan-kerajaan Islam yang kecil seperti Daya dan Lamuri, sebelum bangkitnya Samudera-Pasai. Kemudian, pada hujung era Melaka, Kesultanan Aceh pula muncul sebagai kuasa politik Islam terbesar di Nusantara. Faktor kedudukan geografi sangat membantu Aceh dalam soal ini. Ia bukan sahaja negeri yang paling utara dan hampir dengan India dan Arab, tetapi juga merupakan pintu masuk ke Selat Melaka yang menjadi nadi perdagangan itu. Pada saat berdirinya Aceh pada 1496M, Kerajaan Mamalik-Abbasiyah sedang melemah di Mesir, begitu juga Kerajaan Delhi Lodi (1451-1526M). Pada 1517M, Daulah Othmaniyah telah mengambil alih kekhalifahan dari Daulah Abbasiyah, sedangkan keruntuhan Kerajaan Lodi pada 1526 telah digantikan oleh Empayar Mongol yang terkenal itu. Kemunculan Daulah Othmaniyah dan Empayar Mongol ini telah memberi kekuatan kepada Aceh yang telah lama mempunyai hubungan dengan kedua-dua wilayah tersebut, khusus dalam menghadapi kemaraan barat.

Kebangkitan Daulah Othmaniyah sebagai khalifah baru umat Islam berlaku selepas kejatuhan Granada pada 1492M, Goa, India (1508M) dan Melaka (1511M). Bagi mengukuhkan kedudukan politik umat Islam, lima buah kota telah menjadi induk bagi kekhalifahan yang baru iaitu Istanbul (kota Othmaniyah), Fez (kota Saadi) Esfahan (kota Shafawi), Agra (kota Mongol) dan Banda Aceh (kota Aceh). Aceh mewakili Khalifah Othmaniyah bagi seluruh kepentingan umat Islam di Alam Melayu. Sultan Aceh diiktiraf sebagai duta atau wakil khalifah untuk Nusantara sejak ke-16M. Atas sebab itu, Aceh bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik dengan Istanbul, tetapi turut menerima bantuan ketenteraan dan persenjataan dalam menghadapi Portugis di Melaka. Para ulamak juga dikirimkan ke Aceh dari kalangan ulamak Arab, India, Parsi dan Turki sendiri. Peranan utama Aceh adalah menguasai perdagangan dan melindungi Nusantara daripada kemasukan penjajah barat, selain mengembangkan dakwah Islam. Peranan Aceh dalam membebaskan Melaka dari tangan Portugis telah membawa kepada Perang Tiga Segi, selain mengelakkan Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa dikuasai oleh Portugis. Sedangkan dalam dakwah, Aceh diketahui mengirimkan pendakwah ke Kelantan, Champa, Jawa, Sulawesi dan lain-lain yang akhirnya menjadikan seluruh Alam Melayu sebagai wilayah Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
11 Syawal 1439 / 25 Jun 2018