Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

AKTA HASUTAN : TIMBALAN MENTERI UNDANG-UNDANG SETUJU HINA SULTAN?

845
SHARE

AKTA HASUTAN : TIMBALAN MENTERI UNDANG-UNDANG SETUJU HINA SULTAN?

1. Kenyataan “Hadi diam jika tidak tahu apa-apa” yang dibuat oleh Timbalan Menteri Undang-Undang, YB Hanipa Maidin sebagai respon kepada pendirian Presiden PAS bahawa Akta Hasutan mesti dikekalkan dengan pindaan, tidak mencerminkan sikap keterbukaan pada perbezaan pandangan pasca Malaysia baharu, bahkan menyerlahkan keangkuhan dan sikap tidak peka pada pandangan-pandangan senada oleh ramai lagi tokoh negara.

2. Antara tokoh-tokoh yang berpandangan Akta Hasutan harus dikekalkan ialah mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua-Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Tan Sri Musa Hassan, pakar perundangan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas pegawai perundangan MAGERAN), malah Peguam Negara Tommy Thomas turut berkata Jabatan Peguam Negara akan terus menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi kes bersesuaian untuk mendakwa mereka yang menyebarkan ucapan berunsur kebencian. Sudah pasti pandangan mereka ini tidak sewajarnya diremehkan dan disuruh diam hanya kerana tidak sama dengan pandangan YB Hanipa Maidin.

3. Sebagai Timbalan Menteri bagi sebuah Kerajaan yang katanya mengangkat kebebasan bersuara, adalah sangat ironi untuk membela suara yang jauh dari nilai-nilai kesopanan, namun dalam masa yang sama begitu angkuh menyuruh diam pada pandangan berkaitan undang-undang dari seorang Ahli Parlimen yang juga seorang ahli legislatif.

4. Umum mengetahui bahawa isu menghapuskan Akta Hasutan 1948 begitu hangat diperdebatkan susulan hukuman Yang dijatuhkan ke atas Wanji di bawah Akta ini. Kata-kata Wanji terhadap Sultan yang begitu biadab seperti “syaitan” “bodoh” “buang je sultan-sultan ni” “Firaun moden” “nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi sultan” adalah begitu jauh dari semangat rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Sewajarnya Timbalan Menteri sebagai wakil Kerajaan menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya berpegang teguh dengan Perlembagaan dan Rukun Negara – Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Atau YB Timbalan Menteri memberi pandangan sebegitu atas dasar ‘bias’ politik semata-mata?

5. Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh meluluskan undang-undang bagi mengawal kebebasan bersuara demi ketenteraman awam atau prinsip moral.

Peguam Negara sendiri ada menyatakan bahawa peningkatan jumlah ucapan berunsur kebencian, khasnya atas talian berkaitan kaum, agama dan raja di negara majmuk ini bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi sudah disalahgunakan.

Adakah pandangan YB Timbalan Menteri Undang-Undang ini adalah lambang restu kepada salah guna kebebasan bersuara seperti menghina Sultan?

6. Adalah perlu diingatkan bahawa Mahkamah pastinya mempunyai alasan dengan asas undang-undang untuk menaikkan hukuman ke atas Wanji dari 9 bulan ke setahun. Maka tidak sewajarnya seorang eksekutif seperti Timbalan Menteri Undang-Undang serta pemimpin-pemimpin yang lain menunjukkan sikap campur tangan atas keputusan sistem kehakiman.

7. Muslimat Legal Team (MUSLET), Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian Presiden PAS untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan pindaan, seterusnya mencadangkan agar perkara ini dibahas dengan matang dalam Parlimen sebelum Kerajaan membuat keputusan akhir.

 

Fairuz Idris

Pengarah

Muslimat Legal Team

Dewan Muslimat PAS Malaysia

16 Julai 2019 bersamaan 13 Zulkaedah 1440