Home Berita PAS Melaka

Aksi biadab demonstran ‘Baju Hitam’ tiru sikap pemimpin pembangkang – Aziah

297
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 5 Ogos: Aksi biadab yang ditunjukkan oleh peserta demonstrasi ‘Baju Hitam’ di Dataran Merdeka pada 31 Julai lepas adalah sesuatu yang dicontohi daripada sikap pemimpin pembangkang sendiri, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan peserta-peserta demonstrasi itu yang menunjukkan isyarat lucah dan biadab sebagai tanda protes kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Aziah cara yang tidak beradab bukannya datang dari masyarakat yang berakhlak dan Malaysia diakui mempunyai warganegara yang bersopan santun dan kaya dengan budi bahasa.

“Aksi- aksi yang ditunjukkan itu adalah cara yang sama dari pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya yang tidak beradab dalam Sidang Parlimen yang lepas.

“Gelojoh, rakus dan biadab. Ketika mana PM meminta Ahli Parlimen membacakan doa dan bertafakur untuk sedekah al Fatihah dan mengingati rakyat, keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang. Rakyat lihat sendiri aksi kurang ajar mereka itu,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.

Tambah Aziah lagi, demonstrasi ‘Baju Hitam’ ini sebenarnya adalah tajaan pembangkang iaitu PH dan sekutunya yang gagal menjatuhkan kerajaan PN dengan undi tidak percaya tetapi dalam masa yang sama tidak dapat mengemukakan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong PH.

“Kegagalan pembangkang beraksi dalam Sidang Parlimen khas lima hari telah menimbulkan kemarahan rakyat yang mengikuti siaran langsung dari Parlimen.

“Netizen melahirkan rasa terkejut dan marah dengan sikap yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen pembangkang yang keterlaluan dan biadab.

“Pembangkang menyalurkan kemarahan mereka dengan mengumpulkan anak-anak muda yang diupah untuk beraksi seperti mereka di Parlimen. Usaha yang dibuat amatlah memalukan!” ujar beliau kesal.

Aziah yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah itu menambah, demonstrasi oleh kumpulan ‘Baju Hitam’ yang dipanggil ‘Keluar dan Lawan’ ini sebenarnya adalah percubaan pembangkang untuk menggagalkan usaha negara untuk segera mencapai imuniti kelompok.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan PN berjaya mencapai imuniti kelompok 80 peratus yang dijangkakan menjelang Oktober tahun ini sukar bagi PH dan sekutunya untuk diterima semula dalam PRU-15.

“Dan mereka bimbang tiada isu yang boleh dimainkan untuk mempengaruhi rakyat nanti.

“Mereka mahukan penularan Covid-19 berterusan supaya boleh salahkan kerajaan PN. Jumlah jangkitan Covid-19 akan meningkat untuk tunjukkan kerajaan gagal mengawal penularan Covid-19.

“Kalau kita kata tidak sesuai (berdemonstrasi), mereka akan buat juga sebab hendak tunjukkan pada Malaysia dan dunia bahawa negara ini berada dalam keadaan yang sangat teruk.

“Dalam hati ada perasaan dengki dan cemburu melihat kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan PN berusaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat,” ujar beliau lagi.