PERUTUSAN AIDILFITRI 1443H/2022M
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK
AIDILFITRI : RAIKAN KEMENANGAN DENGAN PENUH KESYUKURAN
الله أكبر كبيرا, والحمد لله كثيرا, وسبحان الله بكرة وأصيلا,
لا إله إلا الله وحده,
صدق وعده,
ونصر عبده,
وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده.
لا إله إلا الله والله أكبر. الله أكبر ولله الحمد.
RAMADAN kini melabuhkan tirai dan berganti pula dengan Syawal yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam. Malah sepanjang bulan Ramadan boleh diibaratkan sebagai ‘madrasah’ kehidupan yang mendidik jiwa umat Islam dengan sebulan berpuasa dan ibadah lainnya.
Teruskanlah berdoa moga Allah SWT menerima segala amal ibadah yang dilaksanakan termasuklah solat fardu dan sunat berjemaah, tadarus Al-Quran, sedekah serta pelbagai lagi amal soleh untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.
Marilah sama-sama kita raikan lebaran kali ini dengan penuh rasa syukur disamping mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama kita lebih-lebih lagi setelah melalui cabaran dalam fasa pandemik COVID-19 dua tahun yang lalu.
Sesungguhnya Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan umat Islam yang membawa maksud kemenangan melawan hawa nafsu, membersihkan diri daripada dosa atau dengan kata lain kembali kepada fitrah menjadi insan yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.
Islam menganjurkan kita bersederhana dalam menzahirkan kegembiraan ketika menyambut Aidilfitri semata-mata untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT pada lebaran serta menjaga adab sambutannya juga sebagai suatu ibadah, InsyaAllah.
“… Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqarah 2:185)
Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.
Salam Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
1 Syawal 1443H/2 Mei 2022M
#PemudaPASPerak
#LegasiPerjuangan
#MemacuPerpaduan