Home Berita PAS Sabah

Ahli PAS perlu berperanan lebih berkesan sampaikan agenda parti

76
SHARE

Oleh: Aizal Samsaruddin
2 Ogos 2022

SANDAKAN: Ahli PAS perlu berperanan lebih berkesan dalam menyampaikan agenda parti kepada rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata PAS yang bersifat menyeluruh wajib ditonjolkan dengan menunjukkan kekuatan parti melalui strategi membumi dan melangit bagi menghadapi cabaran politik negeri Sabah yang pelbagai kaum.

“Dalam konteks Kerajaan Negeri Sabah, PAS juga sudah sebaris dengan rakan- rakan GRS-BN dalam mencorakkan perjalanan kerajaan.

“Walaupun kita hanya memiliki seorang ADUN (dilantik), kita telah menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memberikan idea dan input baru yang amat berguna kepada kerajaan,” ujarnya dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Sandakan kali ke 32 telah diadakan di SERI Ar Raudhah,di sini Ahad lepas.

Sahar yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan berkata, perlaksanaan tanggung jawab ini juga telah meliputi seluruh pelusuk daerah, kampung dan desa.

“Kita terus mara ke hadapan merasai denyut nadi rakyat pelbagai kaum tanpa mengira fahaman politik, agama dan stratifikasi sosial rakyat” ujarnya lagi.

Justeru itu Sahar mengingatkan ahli di seluruh peringkat perlu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan segala dasar dan perancangan jamaah dan parti dapat di laksanakan sebaik mungkin.

Hampir 100 ahli dari cawangan-cawangan PAS di Sandakan hadir pada mesyuarat agung tersebut.

Mesyuarat kali ini membawa tema ‘Memperkasa Gerakan, Membina Kekuatan’ dengan harapan menjadikan PAS lebih dominan di negeri ini.

Majlis juga disempurnakan dengan penyampaian Anugerah Cawangan dan Anugerah Cawangan Penaja kepada tujuh buah cawangan PAS Sandakan.

Turut bersama dalam mesyuarat ini ialah Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Ahmad Supu, dan Setiausaha PAS Libaran, Herianto Ladati sebagai tetamu kehormat.