Home Berita PAS Perlis

ADUN, NGO Gembleng Tenaga Bantu Penduduk

304
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Biarpun sentiasa sibuk dengan jadual harian beliau selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, nasib penduduk yang memerlukan bantuan tetap menjadi agenda utama Mohd. Shukri Ramli.

Pagi tadi, satu majlis penyampaian sumbangan kepada para penduduk yang memerlukan telah diadakan di kediaman beliau di Sungai Padang, dekat sini.

Sumbangan berupa barangan keperluan dapur seperti beras, telur, gula, minyak masak dan lain-lain lagi telah diagihkan kepada seramai 150 orang ketua keluarga yang tinggal dalam DUN Sanglang.

Mohd. Shukri yang ditemui berkata, pek sumbangan berkenaan disediakan oleh NGO Muslim Care Malaysia dan diamanahkan kepada pihaknya untuk diserahkan kepada penduduk.

“Alhamdulillah, semakin banyak pihak khususnya NGO, tampil untuk bersama-sama dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dalam menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada penduduk.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muslim Care Malaysia atas sumbangan yang diberikan pada hari ini dan semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang telah menerimanya,” katanya.

Sementara itu, pada satu program yang lain, beliau bersama-sama dengan para petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sanglang dan Muslim Care Malaysia telah turun padang menyampaikan sumbangan kepada sejumlah 10 buah keluarga yang terjejas di Kampung Padang Keria, dekat sini.