Home Artikel PAS Perlis

ADUN Guar Sanji Lawat Kawasan Dibadai Ribut

384
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Ribut kencang yang melanda beberapa kawasan di negeri ini pada petang tadi telah mengakibatkan banyak kediaman penduduk mengalami kerosakan.

Ini termasuklah beberapa buah rumah di sekitar Kampung Padang Besar Selatan, Kampung Changkat Jawi dan Kampung Behor Mentalon dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim berkata selain rumah penduduk, hujan lebat dan angin kencang turut mengakibatkan beberapa batang pokok tumbang manakala beberapa batang tiang elektrik turut rosak.

“Sejak petang tadi, saya bersama-sama dengan NGO Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji (GS Care) dan Pertubuhan Guar Sanji Prihatin (GS Prihatin) telah melawat beberapa buah keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut.

“Bagi membantu meringankan kesukaran yang dialami, kami juga telah menghulurkan sedikit sumbangan awal kepada para mangsa ribut yang ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan turut memaklumkan, pihaknya telah mengumpulkan maklumat kesemua mangsa yang terlibat untuk diserahkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.