Home Artikel PAS Kedah

ADUN Ayer Hitam dan Pemuda PAS Jerlun bawa anak yatim dan fakir miskin beli baju raya dan berbuka puasa

698
SHARE

ALOR SETAR 1 JUN 2019- Bagi memberi keceriaan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin menjelang Hari Raya Aidilfitri, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerlun mengambil inisiatif dengan membawa 25 kanak-kanak yang dikategorikan anak yatim dan dari keluarga yang susah dalam parlimen Jerlun untuk membeli baju raya dan berbuka puasa.

Kesemua anak-anak yatim dan fakir miskin itu dibawa ke Gedung Tekstil Jakel Alor Setar dan diberi peluang untuk memilih baju raya yang berkenan di hati sambil ditemani jawatankuasa daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam, Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerlun dan Ameerah PAS Jerlun.

ADUN Ayer Hitam YB Cikgu Haji Azhar Bin Ibrahim berkata, program tersebut dianjurkan kerjasama oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Ayer Hitam dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerlun, selain sedikit peruntukan yang dikeluarkan oleh YB ADUN Ayer Hitam, program ini juga untuk memanfaatkan sumbangan infaq Ramadhan yang diterima oleh mereka hasil sumbangan orang ramai sepanjang ramadhan.

Katanya, walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan dan jadual yang padat sepanjang ramadhan ini, pihaknya sentiasa mahu menyantuni golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim supaya mereka berasa dihargai terutama menjelang Syawal ini.

“Kami bawa anak-anak ini ke Jakel hari ini agar mereka dapat memilih sendiri baju raya yang diingini. Inisiatif ini diambil bagi memberikan rasa keterujaan untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terasing dan terpinggir.

“Ini merupakan program kali kedua pihak kami PKWR Ayer Hitam bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerlun bekerjasama dengan pihak Jakel, kita berharap ia akan dijadikan acara tahunan dalam usaha kita membantu memberi keceriaan kepada golongan tidak bernasib baik ini,” katanya ketika dihubungi selepas menemani mereka membeli baju raya.

Menurut YB Cikgu Haji Azhar Ibrahim, pihaknya juga berterima kasih kepada Jakel Alor Setar kerana memberi “diskaun luar biasa” sebagai sumbangan bagi pembelian baju raya anak-anak yatim dan fakir miskin tersebut.

Selain membeli baju raya, selepas itu anak-anak yatim dan fakir miskin itu dibawa untuk diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Restoran Su Manja Seafood and Western Alor Janggus, selain menikmati hidangan berbuka puasa yang istimewa di sini, mereka juga turut menerima beberapa sumbangan lain tajaan individu-individu yang diberikan kepada mereka.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerlun, Abdul Hadi Omar berkata, pihaknya sangat bersyukur program yang dirancang sebelum Ramadhan ini akhirnya berlangsung dengan jayanya, beliau sangat berterima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang sama-sama menjayakan 2 program pada hari ini dan mengharapkan semoga Allah melipat gandakan rezeki mereka dan pihaknya cuba menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan untuk melihat keceriaan di wajah anak-anak ini dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.